Antara Tetamu kehormat yang hadir
KOTA BARU, 28 Mei — Sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kecewaan kerana parti itu masih tidak melaksanakan agenda perubahan dengan menyeluruh, sebaliknya muka-muka lama yang mendokong amalan korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) Umno-BN terus dikekalkan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata mereka ini yang bergelumang dengan korupsi dibiarkan terus memegang kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
“Justeru, kenapa hairan jika kerajaan negeri masih dilihat tidak mampu bertindak dengan sebaiknya untuk kepentingan rakyat?
“Pada Kongres yang lalu, kita sudah memberi ingatan terbuka agar anasir-anasir Umno-BN yang sebati dengan amalan korup ini dibersihkan daripada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat,” kata beliau dalam ucapannya pada Kongres Nasional Keenam AMK di sini pagi ini.
Bagaimanapun Shamsul Iskandar tidak merujuk dengan langsung kes-kes yang dimaksudkan.
Kata beliau, selagi mereka tidak disingkirkan, mereka akan terus-terusan menjalankan usaha sabotaj daripada dalam.
“Mereka ini berusaha secara aktif memburukkan imej kerajaan Pakatan Rakyat dan menggagalkan usaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Kehadiran secara pasif mereka yang menjadikan rasuah sebagai cara hidup sekalipun, memberikan kesan negatif kepada kerajaan Pakatan Rakyat.
“Harapan mereka hanya satu. Untuk rakyat melihat kerajaan Pakatan Rakyat gagal dan akhirnya Umno-BN akan dapat kembali berkuasa,” katanya.
Shamsul Iskandar menyoal “kenapa kita terus membiarkan anasir korup sebegini terus melakukan sabotaj?”
Padahal mandat rakyat kepada PKR, kata beliau, bukan sekadar untuk memanaskan kerusi Menteri Besar atau semata-mata mentadbir negeri dengan cara lama.
“Rakyat memberi kita mandat untuk menyingkirkan anasir korup Umno-BN ini daripada kerajaan,” katanya.
Tegas beliau, AMK hari ini mempertegaskan kembali perjuangannya menentang KKN.
“Sekiranya kita terpaksa membersihkan parti ini daripada unsur-unsur antireformasi yang mesra dengan pengamal korupsi, Angkatan Muda Keadilan bersedia.
“Kita tidak takut dengan risiko. Kita bersedia menghadapinya, sebagaimana kita tidak pernah gentar memerangi rasuah dalam kerajaan selama ini.
“Kita bertanya kepada elemen-elemen anti-Reformasi, apakah mereka mempunyai keberanian menghadapi kita?” katanya lagi.
Dengan menegaskan perubahan adalah perlu dan tidak pernah mudah, Shamsul menambah, “tetapi kita tidak punya pilihan.”
“Kita tidak boleh menuruti cara lama Umno-BN. Kita mesti punya keberanian, semangat, untuk mencetuskan perubahan dan terus berjuang memastikan perubahan itu berjaya,” katanya.
Shamsul Iskandar juga berkata, AMK juga mendesak agar dasar-dasar bersama Pakatan Rakyat yang telah dicapai secara muafakat tidak dipandang sepi.
Katanya, ia perlu segera digarap dan dilaksanakan dengan tekun oleh setiap kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
“Sampai bila kita mahu terus berkempen kepada rakyat hanya dengan bermodalkan bekalan air percuma? Kita perlu merealisasikan wawasan bersama di dalam bidang ekonomi dan urustadbir kerajaan yang baik,” katanya.
Shamsul Iskandar juga berkata kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat tidak boleh bersandar pada kelemahan BN selama ini.
“Benar, setelah lebih 50 tahun memerintah, masih terlalu banyak yang gagal dilakukan oleh BN. Benar, adalah tidak adil untuk mengharapkan kerajaan yang belum pun genap tiga tahun memperbetulkan kesilapan dan memperbaiki semua kepincangan yang ditinggalkan BN,” katanya.