
KOTA BHARU, 17 Mei: Tuan  Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kegagalan Barisan  Nasional (BN) mempertahankan kerusi parlimen Sibu semalam kerana rakyat  sudah muak dengan politik wang.
Beliau berkata, Umno dan BN  menghina rakyat dengan membeli mereka seperti membeli ayam dan itik di  pasar.
”Binatang ternakan boleh dibeli, tetapi jika manusia pun  ingin dibeli, jelas sekali manusia sudah ingin disamakan dengan ayam  itik.
”Harap Umno dan BN sedar, tidak semua manusia boleh dibeli.  Taburlah berlian dari langit sekalipun, prinsip bukan barang dagangan,  kami di Kelantan sudah lama kenal perangai Umno,” kata Mursyidul Am PAS  di sini.
Pada pilihan raya kecil parlimen Sibu semalam calon DAP  Wong Ho Leng mendapat 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui  Yew dengan majoriti 398 undi.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata,  kaum Cina di negara ini terbukti menolak BN seperti dilakukan di Hulu  Selangor dan Sibu serta siri pilihan raya kecil yang diadakan sebelum  ini.
Katanya laungan ketuanan Melayu dan menjulang keris di  khalayak ramai di kalangan pemimpin Umno tidak lebih sebagai slogan  ’buaya darat’ yang mencari mangsa untuk dibaham.
”Ia bukan slogan  suci, kenajisannya terbukti apabila royalti minyak kepada Kelantan  dinafikan sedangkan negeri ini lebih 90 peratus rakyatnya orang Melayu,”  katanya.
Oleh itu beliau merakamkan ucapan tahniah kepada DAP  yang mewakili Pakatan Rakyat menumbangkan BN di Sibu.
Beliau juga  meluahkan rasa terkilan apabila keputusan pilihan raya kecil Sibu  seperti dilenyapkan media massa daripada pengetahuan rakyat. -Hrkh


