Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pegawai kanan daripada sebuah institut kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana didakwa membuat kenyataan tidak benar tentang dirinya.
Shahidan berkata kenyataan Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Zamihan Mat Zin yang didakwa mengaitkannya dengan aliran Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI) itu merosakkan nama baiknya.
"Takkanlah saya ini pengganas. Saya ini ahli sukan. Saya rasa sayalah orang yang paling banyak masuk persatuan sukan di negara ini," katanya yang juga presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).
Shahidan bagaimanapun belum lagi menentukan masa bagi memfailkan samannya itu.
Malaysiakini difahamkan dalam mesyuarat anti-keganasan anjuran pihak polis di Kuala Lumpur Isnin lalu - yang melibatkan pegawai tertingginya - Zamihan memberikan penerangan tentang 'hubungan' Dr Asri dengan Wahabi dan JI.
Menurut sumber-sumber, selain beliau, turut dikaitkan sama dengan 'lingkaran' itu, antaranya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan mufti Perlis sekarang Dr Juanda Jaya.
Dr Asri dan Dr Juanda hari ini turut menafikan dakwaan itu.
Shahidan: 'Binatang' apa itu Wahabi?
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini Shahidan berkata walaupun terdapat dakwaan negatif terhadapnya itu, beliau yakin pihak polis tidak akan mempercayainya kerana "polis tahu pergerakan saya".
"Pihak polis pun tahu (dakwaan) itu tidak betul," katanya yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.
Bagaimanapun beliau mempertikaikan bagaimana pegawai terbabit dijemput menyampaikan taklimat sebegitu sendangkan "(kewibawaan) dia sendiri boleh dipertikaikan".
"Kenapa tidak panggil ketua pengarah JAKIM? Dia (Zamihan) bukan pegawai tinggi. Zamihan ini siapa?" soal Shahidan kembali.
Shahidan juga mendakwa beliau sendiri tidak tahu menahu apakah maksud Wahabi yang dimaksudkan pelbagai pihak di negara ini.
"Siapa Wahabi? 'Binatang' apa itu Wahabi? Ada tanduk atau tak ada tanduk? Kami di Perlis ini tak tahu apa itu Wahabi?" katanya separa berseloroh.
Usaha Malaysiakini menghubungi Zamihan setakat ini masih belum berhasil. -mk