Pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang didakwa mengaitkan beberapa tokoh politik dan agama dengan Wahabisme, Jemaah Islamiah (JI) dan kumpulan pengganas hari ini menafikan perkara itu.
Sebaliknya, Zamihan Mat Zin - penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) – berkata beliau hanya menyebut nama bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sahaja dalam pembentangannya berhubung “terorisme agama” baru-baru ini.
“Dakwaan itu tidak betul, tidak jujur dan dusta,” katanya mengulas dakwaan bahawa beliau mengaitkan Dr Asri dengan Wahabi dan JI dalam dalam taklimat antikeganasan anjuran pihak polis Isnin lalu.
Semalam, memetik sumber-sumber, Malaysiakini melaporkan selain Dr Asri, Zamihan turut mengaitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan mufti negeri itu Dr Juanda Jaya dengan 'lingkaran' keganasan.
Bercakap kepada Malaysiakini awal pagi ini, Zamihan menyifatkan dakwaan terhadapnya bukanlah satu salah faham tetapi usaha pihak-pihak tertentu yang “sengaja mahu mencetuskan salah faham”.
Ditanya dakwaan sebenarnya terhadap Dr Asri dalam pembentangannya kepada pihak penguatkuasa dan wakil-wakil universiti itu, Zamihan berkata beliau hanya menyebut “Dr Asri sepemikiran dengan Wahabi”.
Katanya, tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri melalui sebuah buku Bid'ah: Istilah yang disalahfahami yang diterbitkan beberapa tahun lalu.
“Saya hanya copy and paste (salin dan tampal) pandangannya yang menyamakan (sambutan) Maulud Nabi dengan amalan orang Kristian,” jelasnya.
Zamihan menambah, pandangan yang “keras” sebegitu jika tidak dibendung boleh menjurus ke arah pendekatan “radikal” di negara ini.
Ditanya sama ada terdapat pihak lain yang mengaitkan Abdul Hadi (kiri), Shahidan (kanan) dan Dr Juanda dalam taklimat itu, Zamihan berkata beliau“tidak mahu campur” pembentangan orang lain.
Berhubung ancaman saman dan kritikan daripada pelbagai pihak terhadapnya, Zamihan hanya berkata “saya tidak mahu gaduh” kerana perkara tersebut didakwa tidak menguntungkan semua pihak.
“Sebagai pegawai kerajaan yang bertanggungjawab, saya sedia berjumpa dan menjelaskan (salah faham ini).
“Kalau tidak boleh (bertemu) di tempat saya, saya sanggup pergi ke pejabat mereka (bagi tujuan itu),” katanya lagi. -M'kini