MARANG – Umat Islam perlu kuat fizikal dan spiritual, terutamanya ketika menghadapi cabaran yang semakin hebat diseluruh dunia masakini.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan, selain kuat imannya, setiap muslim itu perlu kuat tubuh badannya.
“Jadilah seorang muslim yang kuat, gagah perkasa bukan sahaja iman dia (muslim) termasuk tubuh badan dia. Terutamanya, disaat umat Islam menghadapi cabaran yang sangat hebat di seluruh dunia.
“Kita (Islam) mengharapkan cabaran yang akhir ini ancaman dari Israel dapat menyatukan umat Islam. Setelah umat Islam berada dalam keadaan yang berpecah-belah,”ujarnya ketika merasmikan Kembara Tarbawi 4WD di Rusila, Marang, semalam.
Menurutnya, tindakan Israel keatas sukarelawan yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Gaza telah menguji kekuatan umat Islam secara amnya.
Ia adalah kerana bangsa Yahudi bercita-cita untuk menakluki wilayah Palestin dan menjadi kuasa besar dunia yang berpusat di Israel, dan Masjidil Aqsa, menjadi rebutan dengan bangsa Yahudi hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan ‘pintu’ rundingan atau perbincangan sudah ditutup.
“Hari ini, saya pakai baju ‘peluru’ bukan hendak berperang di sini. Tetapi hendak jadi simbol bahawa kita (umat Islam) tidak boleh ajar Israel melainkan dengan peluru.
“Tidak ada lagi rundingan tidak ada lagi perbincangan dengan negara (Israel) yang berhasrat meluaskan wilayah mereka (Yahudi) di seluruh dunia.
“Kita (Islam) hendaklah mendidik diri kita menjadi umat yang kuat, umat yang gagah, umat yang bersedia untuk mati bagi menegakkan agama Allah SWT,” tegasnya.
Disebalik tragedi serangan ganas komando Israel terhadap sukarelawan Gaza telah membuka ‘mata’ pemimpin-pemimpin orang Islam.
“Alhamdulillah, tanda-tanda yang menunjukkan negara orang Islam mula hendak sedar dan insaf. Mudah-mudahan, Allah SWT akan memberi taufik dan hidayah kepada pemimpin-pemimpin orang Islam supaya balik ke pangkal jalan,” ujarnya.
Menurutnya, Allah Taala menguji umat Islam diakhir zaman dengan ujian yang sangat perit dengan pelbagai bencana seperti gempa bumi, kemarau dan berlaku peperangan yang besar serta membunuh ramai manusia.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Yahaya Ali dan Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat.
Sejumlah 50 kenderaan pacuan empat roda menyertai program kembara tersebut selama dua hari satu malam merentasi kawasan pendalaman di Air Putih, Kemaman. -BO