KUALA LUMPUR, 13 Julai: PAS menasihatkan mereka yang cuba berusaha menyatukan parti itu dengan Umno supaya tolong menyatukan sesama Umno dahulu sebelum menyatukan orang lain.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Umno kini berada di dalam keadaan yang bercelaru dan perpecahan sesama sendiri, kerana berebut “kek projek “ yang semakin kecil.
Menurutnya, Umno sekarang berada di akhir hayat, kerana sudah kehilangan identiti dan krisis nilai di kalangan ahlinya.
Beliau berkata, perjuangan Umno hanya berteraskan kepada benda, bukan ideologi.
Mereka yang memimpin Umno, kata beliau semuanya kerana perjuangan perut bukan menegakkan idealisme perjuangan seperti mereka yang terdahulu.
“Masuk Umno kerana projek dan ‘mengalibabakan’ khazanah negara sehingga perjuangan bangsa tergadai. Sekarang apabila banyak projek sudah tidak ada khususnya di Selangor yang dianggap lubuk emas, maka pemimpin Umno cuba bercakap soal perjuangan bangsa dan perpaduan Melayu untuk menarik kembali sokongan rakyat di negara ini, dan cuba menjadi umpan perpaduan untuk menimbulkan keraguan di kalangan Pakatan Rakyat,” katanya.
Tegasnya, PAS terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam agenda perjuangan politiknya di Malaysia.
Penegasan itu, katanya telah dikukuhkan lagi untuk kali terakhir di Retreat Pimpinan Tertinggi PAS di Port Dickson pada 9 hingga Julai lalu.
PAS, jelasnya merasa selesa untuk melaksanakan agenda perjuangannya bersama dengan Pakatan Rakyat di negara ini, dan sudah terbukti di Selangor dan Pulau Pinang walaupun bukan PAS yang mengetuai kedua-dua negeri tersebut.
Katanya lagi, program menyemarakkan kefahaman Islam lebih rancak di bawah pemerintahan PR walaupun baru berusia tidak sampai 3 tahun.
“Pencapaian ini boleh dilihat di masjid-masjid dan surau yang diimarahkan berbanding 51 tahun di bawah Umno memerintah, ini adalah fakta yang boleh diukur dengan mata kasar,” katanya.
PAS, katanya hendak menasihatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya, kononnya mendakwa sebagai tenaga pemikir, sebenarnya penyokong Umno tegar, yang mempunyai kepentingan dunia yang tidak berkesudahan.
Menurutnya, mereka hanya berani bercakap kepada perkara yang menguntungkan politik Umno, tetapi membisu ketika kemungkaran dan pengkhianatan Umno kepada agama dan bangsa.
“Kita tidak dengar suara mereka mengkritik dengan lantang ketika khazanah negara habis disapu dan digadai.
“Membisu ketika kes Pulau Batu Putih, telaga minyak yang bernilai RM320 bilion terlepas kepada Brunei, 217 hektar tanah KTM difaraid dengan Singapura, tanah rezab Melayu yang ditinggal penjajah selepas merdeka seluas 3 juta hektar yang hanya separuh sahaja lagi yang berstatus rezab Melayu dan banyak lagi isu yang mengguris perasaan orang Melayu Islam di negara ini. Apakah semua ini angkara Pakatan Rakyat?” ujarnya.
Justeru, tambahnya PAS menasihatkan mereka itu agar berhentilah daripada menjadi ayam sabung Umno, untuk bersama-sama dengan PAS.
“Serulah rakyat untuk bersama dengan PAS, bukannya ajak PAS bersatu dengan parti yang sudah hendak karam. Habiskanlah sisa umur yang semakin senja untuk berbakti kepada perjuangan Islam yang dipimpin oleh PAS, ketika gerakan massa dari kalangan muda mudi yang tidak bertudung dan bersubang sebelah bersama PAS untuk menyelamatkan negara daripada kepimpinan yang rakus,” ujarnya. -Hrkh