Oleh Mohd Rashidi Hassan
Dunia ini penuh dengan warna warni - life is colourful. Allah menciptakan pelbagai warna untuk manusia menikmati keindahan alam semesta ciptaan-Nya.
Manusia
hari ini menjadikan warna sebagai sumber inspirasi kehidupan dan
aspirasi perjuangan mereka. Hakikatnya manusia cenderung kepada warna.
Ada yang suka hijau, ada yang suka biru, suka merah, suka warna oren
(jingga) ada yang suka warna ungu.
Warna sangat signifikan
kepada kehidupan di alam duniawi, malahdi syurga nanti kita akan
diliputi dengan kehidupan yang berwarna warni.
Di dalam al-Quran
misalnya. Ada banyak perkataan yang Allah rujuk dengan warna hijau,
khususnya menjelaskan keadaan penghuni syurga (al-jannah) dan keadaan di
sekelilingnya yang berupa kenikmatan, keindahan, kesenangan dan
ketenangan jiwa,
Allah berfirman (mafhumnya):
"Mereka
bertelekan (bertelekan: tiduran menyamping, tubuh lurus, dengan salah
satu tangannya dilipat dan telapak tangannya menyangga kepala di atas
bantal-bantal yang hijau dan permaidani yang indah." (Surah ar-Rahman,
ayat 76).
"Mereka mengenakan pakaian sutera halus yang hijau, dan
sutera tebal, serta dipakaikan gelang dari perak kepada mereka. Dan
Rabb mereka memberi minum mereka dengan minuman yang suci." (Surah
al-Insan, ayat 21).
"Mereka mengenakan pakaian sutera halus yang hijau dan sutera tebal." (Surah al-Kahfi, ayat 31).
Salah seorang pakar psikologi, Ardatsham, mengatakan:
"Sesungguhnya
pengaruh warna terhadap manusia sangat besar, dan saya pernah melakukan
sejumlah penelitian dan menjelaskan bahawa warna berpengaruh terhadap
kejiwaan dan semangat serta keupayaan kita; merasa panas; atau dingin;
atau tenang; atau
bahagia; bahkan ia boleh mempengaruhi keperibadian dan menentukan sikap seseorang.
Dalam
politik Malaysia hari ini, pemilihan warna sudah menjadi fenomena dalam
menentukan sikap rakyat. Inspirasi warna sudah menjadi semakin dominan,
khususnya gerakan yang dilancarkan Pakatan Rakyat dalam membentuk sikap
dan kecenderungan rakyat menolak Umno-BN.
Warna dijadikan simbol kebangkitan rakyat. Simbol kesatuan kuasa rakyat untuk menolak Umno-BN dari tampuk kuasa pemerintahan.
Semasa
mengemukakan dasar politik, ekonomi dan sosialnya, Pakatan
memperkenalkan Buku Jingga (Oren). Dalam menuntut penstrukturan semula
sistem pilihan raya, rakyat diperkenalkan dengan Bersih yang menggunakan
tema kuning.
Dalam usaha PAS untuk mengembleng kekuatan ahlinya
dan menunjukkan syiarnya, PAS memilih tema Hijau untuk Himpunan Hijau 1
Jun lalu, di Alor Setar. Di Kota Bharu, gerakan rakyat Kelantan
menuntut royalti petroleum, mereka menggunakan tema merah dengan simbol R
untuk royalti.
Manakala pada perhimpunan rakyat untuk
menyelamatkan tanah Felda, Gerakan Selamatkan Felda menggunakan warna
oren sebagai tema Himpunan Oren, 14 Julai 2012 di Kuala Lumpur. Malah
bagi kempen menyelamatkan rakyat dari kesan Lynas di Gebeng, penganjur
menggunakan tema hijau muda.
Tema warna ini ternyata menarik
minat rakyat. Ia berjaya menghimpunkan ratusan ribu rakyat yang komited.
Hari ini, jika kita menjengah rumah penyokong Pakatan, sudah tentu kita
akan menjumpai t-shirt kuning (Bersih), hijau (Himpunan Hijau), merah
(Himpunan Tuntut Royalti) dan oren (Himpunan Oren).
Sehingga kini
Pakatan sudah mencipta empat gelombang berasaskan warna. Kuning, hijau,
merah dan oren. Fenomena warna ini ternyata berjaya membentuk
kecenderungan dan kesungguhan rakyat untuk menolak Umno-BN pada PRU akan
datang. Rakyat yang komited menolak Umno-BN, tanpa segan silu memakai
baju Bersih, baju Himpunan Hijau, baju menuntut royalti dan baju oren
bagi menyelamatkan Felda.
Yang tinggal untuk Barisan Nasional
hanyalah biru. Lagipun slogan BN diasaskan dengan warna biru. Pada
pemahaman kita, warna biru BN ini, bukan warna biru muda, kerana biru
muda adalah warna tema parti KeADILan.
BN menggunakan warna biru
pekat atau blue black untuk membentuk sokongan rakyat. Tetapi nampaknya
warna biru pekat atau biru gelap ini sudah semakin tidak popular di
kalangan rakyat. Himpunan biru pekat semakin pudar dan usang. Rakyat
yang berhimpun, memakai baju biru pekat hanya kerana dikerahkan hadir,
dikerahkan dengan mendapat t-shirt, topi, elaun dan makanan percuma.
Nilai estetika sudah tiada, nilai pengorbanan sudah tiada. Yang ramai hanya kerana diupah, diarah dan tiada pilihan lain.
Berbeza
dengan rakyat yang berhimpun bagi Bersih 3.0, Hijau, Merah dan Oren.
Kebanyakan rakyat hadir kerana kesedaran, pengorbanan dan kesungguhan
untuk mempertahankan hak. Mereka mengeluarkan wang saku sendiri, demi
sebuah perjuangan yang benar-benar ikhlas, penuh kesungguhan untuk
menumbangkan BN.
Gabungan warna-warna ini sememangnya berjaya
mendominasi tema warna biru gelap BN yang semakin malap dan pudar.
Memang jelas bagi kita, warna blue black ini sudah tidak lama ditampuk
kuasa. Sebabnya, blue black ini akan diblack-outkan rakyat pada PRU akan
datang. Takbir! Allahu akbar!