Ibu A Kugan - N Indra (gambar kiri) akhirnya pada percubaan ketiganya berjaya menyerahkan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong memohon campurtangan baginda untuk memastikan kematian anaknya ketika dalam tahanan polis mendapat pembelaan.
Dua percubaannya sebelum ini, iaitu pada September tahun lalu dan Mac tahun ini berakhir dengan kegagalan.
Pada percubaan pagi ini, Indra ditemani oleh peguam yang mewakili keluarga Kugan - N Surendran dan ahli parlimen Kapar S Manickavasagam ke pintu pagar Istana Negara.
Mereka disambut oleh seorang pegawai istana yang menerima petisyen berkenaan bagi pihak setiausaha sultan Yang di-Pertuan Agong.
"Akhirnya, kita berjaya serahkan petisyen. Kali ini, mereka tidak mempunyai alasan untuk mengusir kami,” kata Surendran.
Menurut beliau, petisyen berkenaan memohon campurtangan banginda setelah semua institusi yang lain gagal memberi keadilan kepada Kugan.
"Pihak polis, mahkamah dan juga Jabatan Perdana Menteri gagal bertindak. Ini pilihan terakhir kami,” katanya kepada pemberita.
Sebagai contoh, dakwa Surendran, kematian Kugan ketika tahanan membabitkan tidak kurang sepuluh anggota polis tetapi hanya, seorang, konstabel V Navindran yang didakwa atas kesalahan lebih ringan, iaitu melakukan kecederaan parah.
"Mengapa hanya seorang sahaja yang didakwa sedangkan ramai lagi yang terbabit juga?” soalnya.
Dalam petisyen kepada Yang di-Ppertuan Agong itu, mereka menuntut:
1. Kerajaan persekutuan atau agensi berkaitan memastikan keadilan dalam kes Kugan dan menghukum mereka yang bersalah.
2. Bertindak ke atas Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar
3. Memastikan rakyat selamat ketika dalam tahanan polis.
4. Menubuhkan suruhajaya bebas mengenai aduan dan salah-laku polis.
Indra yang begitu sebak berkata beliau masih mengahapi masalah untuk tidur pada sebelah malam kerana masih terkenangkan kematian anaknya itu.
"Mengapa mereka bunuh anak saya dan kata dia mati atas sebab semulajadi? Saya mahu mereka yang bersalah dihukum,” katanya sambil teresak-esak.
Kugan meninggal dunia pada 20 Januari tahun lalu ketika berada di balai polis USJ Taipan, Subang Jaya setelah ditahan selama lima hari. Pada awalnya, dia dilaporkan mati selepas meminum sejenis cecair dan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang mengesahkan terdapat cecair berkenaan di paru-paru mangsa.
Berikutan itu, Dr Prachant Samberkar menjalankan bedah-siasat kedua yang menunjukkan bahawa Kugan sebenarnya dibelasah sehingga mati. Akibat kemarahan orang ramai, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patil mjengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes bunuh sebelum memulakan siasatan.
Sehari selepas pengumuman itu, 11 konstabel dan lans koperal dari balai polis Subang Taipan ditukarkan bagi menjalani kerja-kerja pentadbiran sementara menunggu keputusan siasatan.