KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Tindakan kerajaan Kelantan yang mahu memfaikan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan Royalti 5 peratus, terus mendapat sokongan pelbagai pihak.
PAS pusat dalam satu kenyataan menyokong penuh usaha tersebut dan mengarahkan ahlinya hadir hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 30 Ogos ini.
"PAS menyeru agar rakyat, khususnya anak-anak Kelantan dapat hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 30 Ogos ini untuk sama-sama memberikan sokongan kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan exco Kerajaan negeri yang akan menghantar writ saman berkenaan," kata Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad.
Selain itu PAS juga katanya meminta agar Kerajaan Negeri mengheret sekali Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan yang membuat keputusan bagi menghalang Kelantan menerima hak royalti berkenaan.
Menurutnya, kabinet telah cuba menafikan hak rakyat negeri itu sedangkan Akta 144 Petroleum Development Act 1974 memberikan kuasa penuh kepada Kerajaan Kelantan menuntut hak royalti tersebut.
Selain PAS pusat, kepimpinan PAS di peringkat kawasan di seluruh Lembah Klang juga mula menyeru ahli PAS di kawasan masing-masing untuk sama-sama hadir ke mahkamah pada hari tersebut.
Khidmat Pesanan Ringkas SMS, FaceBook dan Twitter dilihat digunakan sepenuhnya menyebarkan maklumat ini.
Selain itu, Penasihat Persatuan Anak-anak Darul Naim (Persada), Wan Johari Wan Omar juga turut mengarahkan seluruh ahli persatuan itu hadir memberi sokongan.
Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim turut menyatakan sokongan terhadap tindakan berani kerajaan Kelantan tersebut.
Kelantan akan memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada hari Isnin, 30 Ogos ini jam 9 pagi.
Selesai urusan saman tersebut dibuat, satu majlis solat hajat akan dibuat di Masjid Wilayah, Jalan Duta dan dijangka diimamkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. -Hrkh