BAYAN BARU : Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang menyifatkan negara-negara Islam sebagai tidak progresif dan korup serta terkebelakang.
Menurut Anwar, adalah dikesalkan kerana sekian lama Soi Lek bersama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) masih lagi tidak dapat memahami dan menghargai perasaan serta keprihatinan masyarakat Islam.
"Adalah lebih baik Kerajaan Pakatan Rakyat yang ada kerana amalan politik baru yang menghargai dan sentiasa ingin mempelajari kelainan setiap kaum yang ada dalam negara ini," katanya yang juga Ketua Umum PKR.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pembangkang berkata, sifat jahil dan sombong yang dimiliki oleh Soi Lek itu menjadikannya sebagai salah seorang pemimpin BN yang tidak pernah mengenali dan mempelajari sejarah serta perkembangan negara-negara Islam.
Anwar berkata demikian kepada media selepas berucap dalam Konferens Integriti Antarabangsa 2010 anjurans Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Hotel Eastin, di sini.
Soi Lek membuat kenyataan yang dikecam Anwar itu semasa berucap dalam konvensyen ke-33 MCA di Alor Star, Kedah semalam turut mengingatkan masyarakat Cina supaya jangan terlalu yakin dengan PAS untuk membanteras rasuah dan segala masalah yang berbangkit sekiranya berjaya memerintah negara ini.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut membidas kenyataan Soi Lek mengenai negara-negara Islam.
"Apa yang patut dilakukan oleh beliau sebagai seorang pemimpin yang sentiasa bersama dengan Umno dan BN ialah mempelajari dan mendalami sejarah dan tamadun Islam.
"Kegemilangan tamadun Islam bukan hanya terhad kepada empayar global, ia juga merangkumi pembangunan seni, algebra, pembelajaran, angka dan astronomi. Kenyataan beliau ini adalah tidak tepat dan satu kenyataan yang menyimpang," katanya.
Tambah beliau lagi, adalah lebih baik menurut integriti dan sistem pemerintahan yang dibawa oleh Khalifah Umar Abdul Aziz daripada model alternatif yang berasaskan kepada rasuah dan diktator.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr P Ramasamy, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dan kepimpinan kerajaan negeri. -Hrkh