BACHOK, 8 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dakwaan kononnya Umno sebagai parti pembela Melayu hanya retorik setelah merasai semakin terhimpit.
"Parti sekular jaga Malaysia ni hampir 60 tahun dah. Akhirnya bila dia tua sekarang ini dia minta tolong kita pula jaga dia. Dia baik sangat nak jaga perpaduan Melayu, bukan nak jaga Melayu, tapi nak jaga Umno.
"Jaga Melayu lain, jaga Umno lain. Kelantan diduduki oleh orang Melayu, tapi apa dia buat? Dia buat JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) di Kelantan sebagai tempat tadah duit daripada pusat.
"Kalu betul dia nak jaga Melayu dia salur terus ke kerajaan. Kerajaan PAS Kelantan ini pun orang Melayu, bukan orang lain, bukan Korea, bukan Yahudi atau sebagainya," katanya.
Mengulas lanjut, Menteri Besar itu mendakwa tuduhan kerajaan Islam tidak mampu membawa kemajuan sengaja dicetuskan oleh golongan sekular bagi mengancam kepada proses pengembangan Islam secara keseluruhan.
Beliau berkata, bahkan itulah juga antara punca menyebabkan orang bukan Islam terasa jauh dengan Islam.
“Apa tidaknya, apabila mereka cuba hendak rapat dengan Islam, dikatakan Islam mundur, Islam tidak dapat membawa kemajuan.
"Benda-benda begini telah menimbulkan masalah dalam masyarakat hasil daripada ajaran sesat golongan sekular terhadap Islam," ujarnya.
Beliau juga menjelaskan tidak berminat untuk melayan mana-mana individu mencabarnya untuk berdebat dalam sesuatu isu khususnya tentang Islam kecuali ia membabitkan pemimpin dari kalangan Umno.
“Saya lawan umno. Saya tak lawan individu tertentu. Bukan kerja saya lawan budak-budak kampung,” katanya semasa ditemui selepas menyempurnakan akad nikah anak Setiausaha PAS kawasan, Huzaimi Che Hussien, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan pengasas pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah yang mencabar berdebat sekiranya apa yang didakwanya adalah tidak benar.
Abdullah kerap mengkritik Mursyidul Am PAS itu kerana berpendapat telah mengeluarkan kenyataan yang seringkali menyebabkan timbulnya kekeliruan di kalangan umat Islam.
Mengulas lanjut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengibaratkan tindakan Abdullah tidak ubah seperti individu yang hanya “menumpang semangkuk” dan tidak perlu dilayan.
“Ikut dialah, saya nak debat dengan Umno. Umno lawan saya.
"Ibarat kalau kata Joe Frazier nak lawan Muhammad Ali, dia (Muhammad Ali) akan terima, tapi kalau Muhammad Ali nak lawan orang macam saya dia akan kata menang awaklah.
“Begitulah juga saya, ambil ke dialah (Abdullah). Dia hanya nak tumpang semangkuk,” katanya.
Tuan guru Mursyidul Am menyempurnakan akad nikah anak kedua Huzaimi di Masjid Muhammadi Bachok yang turut dihadiri Yang Dipertua PAS kawasan, Datuk Omar Mohamed. -Hrkh