Ikuti Blog ini

Umno sudah buntu, gagal atasi gejala sosial

Pandangan semua pihak termasuk mewakili pemimpin pembangkang perlu diambil kira bagi mengatasi masalah gejala sosial yang semakin serius melanda di negara ini.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, langkah itu penting kerana kepakaran setiap pihak berbeza dalam menangani masalah yang berlaku.

Beliau ketika diminta mengulas penubuhan sekolah hamil oleh kerajaan Melaka berkata, pendekatan tersebut menggambarkan bahawa pemimpin UMNO sudah buntu untuk menangani isu yang berlaku.

“Mereka perlu meminta pandangan parti politik, kena dengar nasihat pembangkang dan dalam isu ini UMNO tiada kepakaran kerana kepakaran itu ada pada Pas, itulah bezanya UMNO dan Pas,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, penubuhan sekolah khusus untuk remaja hamil bukanlah satu cara yang diajar Islam kerana menganggap akibatnya kelak akan memburukkan keadaan, selain membuka jalan kepada lebih ramai remaja melakukan zina.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat berkata, remaja terbabit juga berkemungkinan tidak takut untuk hamil dan melakukan dosa kerana sudah disediakan tempat khusus sekiranya mengandung anak luar nikah.

Dalam masa sama katanya, tidak mustahil sekolah tersebut akan tumbuh seperti cendawan selepas hujan, menambahkan pusat jagaan anak luar nikah, selain membawa pembaziran kepada negara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, rakyat perlu diberi kesedaran Islam untuk memastikan anak menjauhi perbuatan terkutuk yang boleh diterapkan melalui sistem pendidikan.

“Ia mesti bermula dengan pendidikan awal dan setiap pendidikan dari tadika sehingga universiti perlu mengikut acuan ditetapkan Islam, tidak boleh me-ngambil sistem barat kerana apabila dibawa acuan barat, ia akan memperlihatkan kegagalan sehingga lepasan universiti pun ada yang tidak sembahyang, tidak puasa dan buang anak.

“Dalam masa sama, undang-undang perlu dikuatkuasakan dan pendidi-kan serta penguatkuasaan perlu dilakukan serentak, kalau tidak ia tidak akan ke mana-mana,” katanya.

Mengulas berhubung galakan supaya golongan muda berkahwin awal, beliau bersetuju kerana ia tidak bercanggah dengan agama sambil memberi contoh perkara sama turut berlaku terhadap Aisyah Abu Bakar ketika berkahwin dengan Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, sekiranya matlamat utama adalah untuk mengelakkan remaja hamil luar nikah atau membendung gejala sosial, ia pastinya akan gagal.
- ustaz-nik-mohd-zawawi.blogspot.com/
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .