Ikuti Blog ini

Batal Senarai Hitam Kejayaan Besar Pakatan Rakyat Bela Rakyat


Keputusan kerajaan menarik balik tindakan menyenarai hitamkan pemilik kenderaan yang menerima saman ekor merupakan satu kejayaan besar Pakatan Rakyat membela nasib rakyat yang tertindas disebabkan tindakan sembrono Umno-Barisan Nasional yang membelakangkan peraturan dan undang-undang.

Pengumuman yang dibuat selepas mesyuarat mingguan Kabinet berkuatkuasa semalam sehingga 28 Februari tahun depan bagi memberi peluang rakyat memperbaharui cukai jalan sempena musim perayaan bermula dengan Hari Raya Aidil Fitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi Suara Keadilan berkata Pakatan Rakyat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan tetapi pada masa yang sama mahu tindakan menyenarai hitamkan dimansuhkan segera.

"Kita tidak mahu keputusan yang diputuskan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha hanya untuk memberi kelonggaran semasa musim perayaan akan datang.

"Langkah ini adalah kemenangan besar bagi perjuangan menentang saman ekor yang dibuat oleh rakyat negara ini khasnya daripada PAS sendiri." ujar Naib Presiden PAS itu.

Menurut beliau, Kase yang ditubuhkan hasil maklum balas rakyat telah bergerak ke seluruh negara bagi menbantah tindakan saman ekor oleh pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Ini menunjukkan sikap kerajaan yang tidak baik, mereka malu untuk mengaku bahawa tindakan mereka salah kerana ianya hasil daripada desakan rakyat.

"Kita juga meminta supaya kerajaan supaya jangan berdegil untuk mengkaji semula tindakan yang tidak menguntungkan mana-mana pihak, waima daripada pihak kerajaan atau rakyat," ujar Mahfuz lagi.

Pada 5 Ogos lepas, Mahfuz telah menyerahkan memorandum bantahan kepada pejabat Menteri Pengangkutan dan juga mengatur pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi membincangkan perkara sama.

Isnin lalu, Kase telah membuat aduan kepada Suhakam bagi meminta badan hak asasi manusia itu membantu rakyat memperjuangkan hak mereka.

"Kita meminta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan membatalkan 'black list' tersebut dan mengizinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan," kata Mahfuz dalam perjumpaan itu.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .