Exco perancangan ekonomi, kewangan dan kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa menyeru rakyat bersama-sama bermunajat bersama 40 ulamak serta tok guru pondok dari seluruh pelusuk negeri berhubung isu kes tuntutan royalti minyak daripada Petronas, lapor Suara Keadilan.
Husam menerusi twitternya berkata sebuah laman web, www.munajatroyalti.com serta laman sosial facebook - www.facebook.com/pages/Misi-Munajat-Royalti-Rakyat telah diwujudkan bagi rakyat melayari dan seterusnya menyatakan sokongan mereka kepada usaha itu.
Menurut laman itu, kutipan derma telah dilancarkan bagi menampung kos membawa 40 ulamak serta tok guru pondok dari seluruh Kelantan untuk bermunajat secara khusus selama 40 hari dan 40 waktu di Mekah.
Majlis membaca doa dan beribadah di kota suci itu bertujuan untuk memberi sokongan spiritual kepada seluruh rakyat negeri itu berhubung tuntutan berkenaan.
"40 ulamak dan tok guru pondok dari seluruh Kelantan akan bermunajat untuk memohon kerahmatan dan kesejahteraan khusus buat rakyat negeri Kelantan semuanya dan untuk seluruh rakyat Malaysia amnya.
"Tujuan kami adalah untuk mempertahankan dan memartabatkan kepimpinan ulamak, alim ulama dan ahli agama di dalam kehidupan hal ehwal seharian kita sebagai umat Islam," menurut laman itu.
Tuntutan royalti minyak Kelantan dianggarkan bernilai lebih RM800 juta setahun sejak 2005 dan sehingga tahun ini jumlah terkumpul dianggarkan sebanyak RM4.8 bilion.
Kerajaan negeri Kelantan mendakwa Petronas melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil daripada minyak dan gas di perairannya dan di kawasan laut yang bertindih di antara Kelantan - Thailand, Kelantan - Vietnam dan Kelantan - Terengganu.
Berikutan dinafikan royalti minyak itu, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.