KUALA LUMPUR, 21 Sept: “Adakah rakyat Malaysia ditipu lagi menerusi jualan hartanah terbaru milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)?” tanya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Menurutnya, tapak seluas 8 hektar dan bernilai RM400 juta itu terletak di belakang bekas ibupejabat Unilever di Jalan Bangsar dan dijual kepada Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad yang kini dikenali sebagai Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), untuk jumlah yang jauh lebih rendah daripada harga semasa iaitu sebanyak RM50 juta.
Katanya, pelaburan Hartanah Berhad adalah anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, sebuah yayasan ditubuhkan pada tahun 2006 dengan modal RM2 bilion, untuk meningkatkan pemilikan hartanah bumiputra.
Tanah itu, ujarnya yang dianggarkan bernilai RM500 per kaki persegi, berkemungkinan digunakan sebagai sumber pendapatan tetap untuk KTMB, selari dengan niat awal tanah tersebut yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan sistem kereta api.
Beliau berkata, KTMB juga sepatutnya boleh membangunkan tanah tersebut secara usahasama ataupun menerima pulangan menerusi sewaan tanah yang dapat memberikan pendapatan berterusan bagi KTMB.
“Cara sebegini adalah cara bagaimana perkhidmatan MRT di Hong Kong dan Singapura serta London Underground mempertahankan perkhidmatan kereta api mereka untuk kepentingan awam,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mekanisma pulangan sebegini bukan sahaja dapat menyelamatkan prestasi kewangan KTMB yang kini dalam kerugian, tetapi juga berpeluang membantu rakyat menerusi penurunan harga tiket dan penyediakan perkhidmatan yang lebih cekap untuk rakyat.
Namun, tambahnya kerajaan memutuskan supaya tanah KTMB di Jalan Bangsar ini dipindah milik kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.
“Justeru, dapatkah kita andaikan bahawa selepas dibangunkan semula, unit-unit pembangunan akan dijual kepada Bumiputera dengan harga diskaun?” soalnya.
Beliau juga mempersoalkan memandangkan tanah KTMB diperolehi oleh PHB dengan diskaun sebanyak 80%, bagaimanakah ianya dapat dinikmati oleh golongan bumiputera.
“Adakah akan terdapat kawalan bagi memastikan pemilikan Bumiputera semasa penjualan unit-unit pembangunan nanti?”
“Ataupun rakyat terpaksa menelan kekecewaan apabila sekali lagi terpaksa menerima penggunaan tanah kerajaan untuk memperkaya golongan terpilih?” soalnya lagi.
Justeru, beliau benar-benar berharap bahawa penjualan tanah KTMB tidak dimanipulasikan atas nama mempertahankan hak bumiputera.
“Kita tidak mahu dasar hartanah Bumiputera disalahgunakan seperti dalam kes PKFZ,” ujarnya.
Beliau turut memberikan berikut:
1) Orang tertentu yang berkepentingan akan menggunakan syarikat persendirian (seperti dalam PKFZ) atau agensi kerajaan atau badan berkanun untuk mewajarkan pembelian tanah kerajaan pada kadar diskaun yang sangat tinggi. Perbezaan ini dikenali sebagai jurang nilai.
2) Semasa fasa pembangunan hartanah, mereka yang berkepentingan akan mendapat faedah sama ada daripada projek usahasama yang berat sebelah, atau melalui kontrak-kontrak yang dianugerahkan kepada kawan-kawan dan keluarga. Ia pastinya dianugerahkan melalui rundingan terus, atau proses tender yang kabur, dengan kos yang melampau, dan akhirnya sub-kontraktor diberi bayaran sangat rendah, supaya untung kontraktor utama dapat dimaksimumkan.
3) Kos pembangunan yang tinggi melampau itu kemudiannya bolehlah digunakan syarikat yang terlibat untuk mendapat pinjaman kerajaan seperti kes jaminan kerajaan untuk bon-bon persendirian dalam kes PKFZ.
4) Syarikat-syarikat kroni ini kemudiannya akan menjual pula unit-unit yang sudah siap untuk golongan bumiputera pada harga diskaun. Walaupun dengan diskaun, harga-harganya masih dikira tinggi untuk rakyat biasa.
5) Pemilik-pemilik bumiputera ini kemudiannya akan dibenarkan untuk menjual hartanah ini pada harga pasaran sebenar (mungkin juga boleh dipaksakan penjualan kepada agensi kerajaan untuk dijadikan pejabat) dengan untung yang sangat besar setelah dicampur dengan jurang nilai.
6) Untungnya akan mengalir ke tangan-tangan persendirian dan bukannya institusi bumiputera. Ini seperti merompak Ahmad untuk membayar Ali (baba).
7) Jika projek ini berakhir tanpa nilai komersial dan tidak mendatangkan keuntungan, sudah tentu kerajaan akan sedia untuk menyelamatkannya dan menggunakan hujah membela bumiputera, untuk menegakkan benang basah.
“Bentuk manipulasi keuntungan ini juga dikenali sebagai ketirisan ekonomi.
“Sama seperti transaksi tanah KTMB di Tanjung Pagar, Singapura, urusan terbaru ini menimbulkan banyak tanda tanya,” kata Nurul Izzah lagi.
Ini, katanya seperti satu bentuk subsidi tidak langsung yang hanya menguntungkan segelintir rakyat sahaja sedangkan pada masa yang sama, subsidi untuk majoriti sudah ditarik.
“Saya harap saya salah dalam hal ini. Saya akan memantau perkembangan projek ini dengan lebih dekat, kerana rakyat mengharapkan kepada kerajaan yang telus dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Oleh itu, dalam sesi parlimen akan datang, beliau akan mencadangkan penubuhan kaukus antara parti untuk pelaksanaan dasar-dasar Bumiputera dengan matlamat mengeluarkan laporan tahunan kepada awam tentang hasil dan penerima faedah dasar-dasar itu.
“Saya harap, rakyat akan menyertai saya dalam menuntut kerajaan bersikap lebih telus dan bertanggungjawab,” katanya. -Hrkh