KUALA LUMPUR, 29 Okt: Tidak seperti musim lalu, kerajaan negeri Kelantan akan memberi imbuhan berupa wang tunai kepada pemain pasukan bola sepak The Red Warriors Kelantan yang berjaya ke final Piala Malaysia musim ini.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemberian wang tunai tersebut ekoran kerajaan negeri merasakan ianya lebih sesuai berbanding imbuhan menunaikan umrah yang diberikan musim lalu.
"Imbuhan ada, tahun lepas kita bawa ke tanah suci, tapi dapat dirasai oleh suami sahaja, isteri tak dapat rasa apa-apa.
"Jadi tahun ini kita ubah teknik sikit, kita bagi wang tunai supaya suami sebagai pemain dapat rasa, isteri sebagai penonton dapat rasa, anak-anak pun seronok," katanya kepada stesen radio HotFM semalam.
Beliau bagaimanapun tidak memberitahu berapa jumlah yang akan diberikan kepada setiap keluarga pemain tersebut.
Sabtu, 30 Oktober ini, Kelantan akan berdepan pasukan Negeri Sembilan, pada Piala Malaysia edisi ke-84 di Stadium Bukit Jalil.
Pertemuan ini adalah kali kedua berturut-turut selepas bertemu pada peringkat akhir musim lalu dengan kemenangan milik Negeri Sembilan 3-1.
Dalam pada itu, Nik Aziz turut mengingatkan penyokong Kelantan yang akan hadir ke stadium agar menjaga adab dan tatasusila dan tidak menimbulkan kekecohan.
"Saya nak tengok penyokong jaga tatsusila, jangan ada keganasan, semangat kesukanan kena jaga molek.
"Kita rakyat dan kerajaan negeri Kelantan duduk dalam keadaan tenang, berakhlak dan beradab," katanya penuh harapan.
Beliau bagaimanapun optimis Kelantan mampu membawa pulang Piala Malaysia ke negeri itu pada pertemuan Sabtu ini.
"Saya sebagai rakyat Kelantan berdoa agar kita berjaya..InsyaAllah kita harap kita berjaya," tambahnya.
Ditanya pengalamannya bermain bolasepak, beliau memberitahu meminati sukan itu sejak kecil.
Malah katanya lagi, bahagian lututnya kini masih terdapat kesan kececederaan akibat bermain bolasepak sebelum perang Jepun lagi.
"Saya muda dulu main bola sebelum perang Jepun, ketika itu saya duduk pondok.
"Lepas Asar main bola, kawan saya sepak, kena lutut kanan saya smpai hari ni cedera. Orang tak tahu tu.
Beliau turut memberitahu, selain bermain bola sepak, beliau juga aktif dalam sukan berkuda.
"Ayah saya ada empat ekor kuda, kami empat beradik berlumba kuda.
"Bila saya menang, saya lepas tangan atas kuda tu, tiba-tiba biawak melintas, kuda terkejut dan berhenti mengejut, jatuh la saya.
"Lutut saya rosak sebab bola, belakang saya rosak sebab kuda, jangan main-main," ceritanya.