|     GOMBAK, 4 Okt: Naib   Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yakin Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku   Razaliegh Hamzah tidak menerima keputusan Umno untuk meletakkan beliau   sebagai calon mereka dalam pilihan raya kecil N45 Galas.
  Mahfuz   menegaskan, veteran Umno itu terkenal sebagai seorang berpegang teguh   pada prinsip perjuangan menegakkan keyakinannya dalam banyak isu yang   timbul khusus di Kelantan terutama royalti minyak.
  "Beliau sudah   pasti tidak akan mahu galas biawak hidup," tegasnya merujuk kepada   reputasi Umno yang sudah sekian lama dicemari dengan segala macam rekod   buruk yang semakin bertambah dalam kiraan jam.
  Ahli Parlimen   Pokok Sena itu ditemui dalam Majlis Terbuka Aidil Fitri PAS Pusat 1431H   yang diadakan di Taman Berjaya, bersebelahan Taman Melewar, dekat sini   semalam.
  Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik   Mat, Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Ustaz   Nasharudin Mat Isa, tiga Naib Presiden serta semua AJK PAS Pusat, Dewan   Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda turut berada di lokasi.
  Dalam   majlis itu, puluhan ribu rakyat dari berbagai kalangan masyarakat   termasuk kaum Cina dan India hadir untuk sama-sama merai dan bertemu   dengan pimpinan parti Islam yang berteraskan dakwah, tarbiah dan siasah   itu.
  PRK Galas bakal diadakan tidak lama lagi ekoran kematian   wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima, 47, pada 27 September lalu kerana mengidap   penyakit barah di bahagian paru-paru.
  Dalam perkembangan   berkaitan, Ku Li yang ketika ini masih berada di luar negara menyatakan   belum menerima kehendak Umno yang beria-ia dan menghebahkan beliau  telah  bersetuju sebagai pengarah pilihan raya kecil itu.
  Sehingga  kini  beliau masih belum memberikan apa-apa jawapan kepada sesiapapun   termasuk (Timbalan Perdana Menteri) Muhyiddin, tegas Ku Li menerusi   laman twitternya sebagai menjawab soalan rakannya.
  Menurutnya,   beliau hanya akan mengumumkan pendiriannya sebaik pulang ke tanahair   pada 9 Oktober akan datang.-Hrkh
  |