Harga petrol RON97 akan dinaikkan 15 sen lagi kepada RM2.30 seliter berkuatkuasa 1 Disember ini, mengikut sumber.
Pengumuman rasmi dijangka akan dibuat lewat hari ini. Bagaimanapun harga petrol RON 95 kekal tidak berubah pada RM1.85 seliter.
![azlan](http://media1.malaysiakini.com/303/77872adf32447e7ea41c90db28018eb2.gif)
Harga petrol RON97 akan dinaikkan 15 sen lagi kepada RM2.30 seliter berkuatkuasa 1 Disember ini, mengikut sumber.
Pengumuman rasmi dijangka akan dibuat lewat hari ini. Bagaimanapun harga petrol RON 95 kekal tidak berubah pada RM1.85 seliter.
SERDANG, 30 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan isteri, Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah hari ini meluangkan masa melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2010.
Turut serta ke pameran yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan isteri.
Mereka tiba di sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi, dan meluangkan masa hampir tiga jam melawat tapak pameran.
Kehadiran mereka disambut oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, timbalannya, Datuk Johari Baharom dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Nordin Ahmat di dewan khas.
Mereka kemudian diberi penerangan mengenai penganjuran MAHA kali ini.
Selepas itu mereka dibawa ke Laman Jentera sebelum dipertontonkan persembahan aksi lasak bagaimana koboi menumbangkan lembu liar.
Pertunjukan hebat itu dilakukan sekumpulan penunggang Rodeo profesional dari Australia Bushmen’s Campdraft and Rodeo Association Ltd (ABCRA) yang didatangkan khas untuk pameran MAHA.
Selepas menyaksikan pertunjukan bahaya itu, mereka kemudiannya pula dibawa melawat ke kawasan laman sayuran.
Di sini, rombongan Tuan Guru Abdul Hadi bertembung dengan rombongan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kesempatan itu diguna dengan saling bertanya khabar dan berkongsi cerita tentang sayur-sayuran.
Setelah berada di situ hampir 10 minit, mereka kemudiannya dibawa melawat ke kawasan laman penternakan sebelum dijemput menikmati jamuan khas yang disediakan oleh MOA.
Selesai menikmati juadah yang disediakan, mereka kemudian mengakhiri sesi lawatan dengan berkunjung ke bazar agro di dewan pameran.
Pameran MAHA bertemakan `Inovasi Pertanian Pemangkin Pembangunan’ akan berlangsung sehingga 5 Disember ini. -Hrkh
Pemimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat hari ini sepakat mengumumkan satu resolusi bagi mewujudkan penyelarasan daripada segi pelaksanaan, perkongsian pengalaman serta jawatankuasa bersama.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Resolusi Persidangan Shah Alam itu dicapai setelah mengambil persetujuan semua ketua negeri yang dikuasai Pakatan -- Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dalam satu persidangan di Shah Alam hari ini.
Setiap ketua menteri dan menteri besar dari negeri berkenaan masing-masing membuat pembentangan kertas kerja meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran dalam persidangan berkenaan.
"Kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman,” kata Khalid yang membacakan resolusi berkenaan.
Resolusi berkenaan menggariskan lima janji penting – antaranya untuk membentuk satu "pakatan ekonomi" di antara kerajaan negeri-negeri di bawah Pakatan dan mengurangkan amalan birokrasi dalam pentadbirannya.
Kerjasama exco negeri Pakatan
Dokumen itu antara lainnya turut menyentuh usaha memperkukuhkan permuafakatan antara pemimpin Pakatan serta mengkaji usahasama yang boleh dijalankan antara anggota exco kerajaannya.
Resolusi berkenaan juga menetapkan janji untuk memastikan persefahaman dan kelunakan hubungan antara pemimpin politiknya dengan pentadbiran negeri, kata Khalid lagi dalam persidangan di kompleks perumahan kerajaan, Seksyen 7, Shah Alam, lewat malam semalam.
"Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat," katanya lagi dalam ucapan perasmiannya itu.
Persidangan berkenaan merupakan yang kedua seumpamanya yang diadakan melibatkan ketua-ketua kerajaan Pakatan. Persidangan pertama telah diadakan di Mentalun Kedah pada 18 Januari tahun lalu. -M'kini
PAS Pulau Pinang membuat laporan polis di Kepala Batas berhubung penemuan beberapa kain rentang dan sepanduk yang mendakwa parti itu menentang pemberian RM100 oleh kerajaan negeri kepada warga emas kerana dikaitkan dengan sumber perjudian.
Laporan polis dibuat oleh ketua Pemuda PAS, Kepala Batas, Mohd Hafis Kasim yang diiringi oleh anggotanya dari Kepala Batas dan Tasik Gelugor. Mereka mendakwa kain rentang itu berunsur fitnah.Mohd Hafis juga menafikan PAS bertanggungjawab memasang kain rentang itu dan berkata parti itu sebahagian daripada komponen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang serta menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
KUALA LUMPUR, 29 Nov: Gabungan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini menyerahkan 20 kes pertama yang ada pada mereka kepada Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak).
Penyerahan tersebut dibuat Pengerusi Anak, Mazlan Aliman kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, Datuk Ahmad Maslan di parlimen hari ini.
Dalam sidang medianya, Mazlan mahu kesemua aduan peneroka yang diserahkan itu diselesaikan segera seperti dijanji timbalan menteri itu sebelum ini kerana kesemua kes tersebut sudah lama berlaku.
"20 aduan ini hanya sebahagian kecil dari aduan yang banyak kita terima yang berkait langsung dengan dasar Felda.
"Kita harap mampu dikendalikan oleh Bapak," katanya.
Turut serata pada penyerahan itu, beberapa wakil dari peneroka Felda Lawin Selatan, Perak.
Antara masalah yang dikemukakan termasuklah isu peneroka yang disingkir, isu hutang dengan Felda sehingga mencecah RM80 ribu dalam masa 7 tahun, dan permasalah pembahagian pusaka oleh generasi kedua Felda.
Ahmad pada sidang media sama memberi jaminan akan meneliti masalah yang dikemukakan Anak itu dan akan memanjangkan perkara itu kepada Bapak.
Menurutnya, dengan tambahan 20 aduan dari Anak itu, Bapak kini sudah menerima 658 aduan sejak ditubuhkan.
Bapak adalah sebuah biro yang ditubuh dibawah NGO, Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang dipengerusikan Tan Sri Rozali Ismail.
"Banyak benda yang mengelirukan, tidak jelas dan samar-samar yang memerlukan penjelasan Felda," katan Mazlan lagi.
Mazlan sebelum ini juga mendakwa penubuhan Bapak membuktikan usaha Anak bagi membuka mata kerajaan tentang permasalahan peneroka Felda, adalah berjaya.
Bagaimanapun menurutnya, Anak akan sentiasa meneliti dan menyalur aduan yang diterima mereka kepada Bapak.
Anak sebelum ini dikenali sebagai NGO yang membela nasib peneroka yang dinafikan hak oleh Felda.
Ianya termasuk isu wang tanam semula yang dimenangi peneroka di Pahang dan Kelantan. -Hrkh
JITRA - Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berperanan penting membantu proses pembangunan di negara ini dan PDRM telah dengan berkesan memenuhi tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang serta memastikan bahawa prinsip ketiga Rukun Negara dalam aspek kedaulatan undang-undang terus didokong.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah bertitah, dengan memastikan undang-undang terpelihara, kestabilan negara dapat dijamin bagi membolehkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan komersial dapat berlangsung.
“Pada hari ini, anggota PDRM menghadapi tugas yang lebih mencabar, dengan kejadian-kejadian jenayah di samping bentuk dan corak jenayah yang berlaku juga turut memerlukan kepakaran yang lebih tinggi,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini.
Kompleks yang dibina pada 3 Julai 2006 dengan kos sebanyak RM71 juta itu siap sepenuhnya pada Oktober 2009. Kompleks tersebut dilengkapi dengan sebuah blok pentadbiran dan juga bangunan sokongan yang terdiri daripada stor transit dan stor awam, cawangan kenderaan, bengkel, unit kediaman dan kemudahan lain.
Baginda bertitah, pertambahan penduduk, pergerakan manusia yang lebih mudah dan pantas, kemajuan dari segi komunikasi, dunia tanpa sempadan, semuanya telah menunjukkan senario baru ‘trend’ kejadian jenayah.
Oleh itu, titah Baginda, adalah menjadi tanggungjawab PDRM untuk meningkatkan perhatian serta mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta penguasaan teknologi dalam mengekang dan menangani cabaran jenayah masa kini.
“Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu ini telah menyediakan ruang kerja yang lebih selesa kepada pegawai serta anggotanya dan masyarakat di sekitar Kubang Pasu juga akan mendapat manfaat melalui kemudahan-kemudahan yang disediakan di kompleks ini,” titah Baginda.
Baginda bertitah, masyarakat hendaklah memberi kerjasama dengan menyokong usaha-usaha pasukan PDRM untuk menguatkuasakan undang-undang.
“Dalam hal ini, anggota masyarakat hendaklah aktif, menjadi mata dan telinga Pasukan Polis dengan melaporkan kejadian-kejadian jenayah yang berlaku di kawasan mereka,” titah Baginda.
Baginda bertitah, bagi kawasan yang memperlihatkan kejadian jenayah yang tinggi, anggota masyarakat setempat wajib tampil ke hadapan melakukan tugas kawalan dan rondaan seperti skim rondaan sukarela, rukun tetangga dan skim kejiranan.
Turut hadir ialah Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak; Menteri Dalam Negeri, YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Pemangku Ketua Polis Kedah, Dato’ Asri Yusoff.