SERDANG, 30 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan isteri, Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah hari ini meluangkan masa melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2010.
Turut serta ke pameran yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan isteri.
Mereka tiba di sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi, dan meluangkan masa hampir tiga jam melawat tapak pameran.
Kehadiran mereka disambut oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, timbalannya, Datuk Johari Baharom dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Nordin Ahmat di dewan khas.
Mereka kemudian diberi penerangan mengenai penganjuran MAHA kali ini.
Selepas itu mereka dibawa ke Laman Jentera sebelum dipertontonkan persembahan aksi lasak bagaimana koboi menumbangkan lembu liar.
Pertunjukan hebat itu dilakukan sekumpulan penunggang Rodeo profesional dari Australia Bushmen’s Campdraft and Rodeo Association Ltd (ABCRA) yang didatangkan khas untuk pameran MAHA.
Selepas menyaksikan pertunjukan bahaya itu, mereka kemudiannya pula dibawa melawat ke kawasan laman sayuran.
Di sini, rombongan Tuan Guru Abdul Hadi bertembung dengan rombongan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kesempatan itu diguna dengan saling bertanya khabar dan berkongsi cerita tentang sayur-sayuran.
Setelah berada di situ hampir 10 minit, mereka kemudiannya dibawa melawat ke kawasan laman penternakan sebelum dijemput menikmati jamuan khas yang disediakan oleh MOA.
Selesai menikmati juadah yang disediakan, mereka kemudian mengakhiri sesi lawatan dengan berkunjung ke bazar agro di dewan pameran.
Pameran MAHA bertemakan `Inovasi Pertanian Pemangkin Pembangunan’ akan berlangsung sehingga 5 Disember ini. -Hrkh