Bayi tercampak nahas dalam hujan
PERMAISURI: Lima terbunuh termasuk empat sekeluarga dalam nahas membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan van di Kilometer 67.5 Jalan Permaisuri-Penarik berhampiran Kampung Nyatoh di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian pada jam 1.30 tengah hari itu, pemandu van Mustafa Zulkarnain, 45, dan isterinya parah manakala 10 lagi penumpang kenderaan itu cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid berkata, tiga sekeluarga itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayi berkenaan yang tercampak keluar dari Proton Wira meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital sama pada jam 6.15 petang semalam.
Katanya, mangsa terbunuh berasal dari Kampung Bukit China Besut iaitu pemandu Proton Wira, Noor Azyd Helmi Sidek, 32, dan dua adiknya, Noor Azri Helmi, 29; Noor Efiza Helmi, 16, serta anak Noor Azyd, Noor Amysha Maisarah, 1.
Mangsa kelima dari Cherang Melintang Besut, Mek Wook Yaakob, 76, parah di kepala dan badan, meninggal dunia tiga jam selepas mendapat rawatan di Hospital Setiu.
Katanya, nahas berlaku dalam keadaan cuaca buruk dan jarak penglihatan terhad kerana hujan berterusan sejak pagi pada permulaan musim tengkujuh di Pantai Timur tahun ini.
“Siasatan awal mendapati kereta Proton Wira menghala ke Permaisuri dari Kuala Terengganu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh van, ” katanya.
Katanya, keluarga dalam Proton Wira mahu ke Penarik, Setiu untuk membeli ikan segar daripada nelayan yang baru pulang ke pangkalan pada sebelah petang manakala keluarga dalam van itu dalam perjalanan dari Besut untuk menziarah saudara mereka yang sedang dirawat di Hospital Dungun.
“Kereta dipandu Noorazdy Yelwy yang menghala ke arah Permaisuri dari Penarik dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan gagal mengelak menyebabkannya bertembung dengan van Ford dari arah bertentangan.
“Kereta itu berpusing akibat hentaman kuat sebelum terputus dua.”
Katanya, polis masih menyiasat punca kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Idi Irwan Irwadi Alias, di Unit Trafik Cawangan Setiu di talian 09-6098222 atau 019-5465474.
SETIU: “Saya terus memangku bayi yang ada di atas jalan dan menahan sebuah kereta yang melalui kawasan itu sebelum menghantarnya ke hospital, sebelum membantu mangsa lain,” kata Zakaria Ismail, 61, saksi kemalangan berkenaan.
Menceritakan detik cemas itu, Zakaria berkata, kejadian berlaku ketika hujan dan dia yang berada di depan rumahnya di Kampung Nyatoh terdengar dentuman kuat sebelum melihat sebuah Proton Wira remuk serta suara meminta tolong daripada sebuah van Ford.
“Saya lihat bayi dan pemandu Proton Wira tercampak keluar lebih 10 meter dan ketika itu saya hanya terfikir nak menyelamatkan bayi terbabit sambil bertanya kepada penumpang van, bayi ini anak siapa,” katanya.
Ketika itu bayi berkenaan, Nor Amisya Maisarah, 1, masih bernyawa, bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir di Hospital Setiu (HS) jam 6.15 petang, semalam. -Metro