Ikuti Blog ini

Piala Malaysia : Hadiah Berharga Bagi 2 Perkara

Piala Malaysia : Hadiah berharga bagi 2 perkara

Gambar: Calon PAS meraikan pasukan bola Kelantan sebelum mereka bertolak ke Bukit Jalil kelmarin.

Gua Musang, 30 Oktober - "Alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan kepada pasukan bola sepak Kelantan kerana berjaya pulang bersama piala kemenangan," ujar calon PAS, Dr Zulkifli Mohamed ketika ditemui dalam aktiviti kempen di Kampung Sungai Terah pagi tadi.

Beliau yang dalam lawatan ke rumah pengundi di RPT Sungai terah, Tiong dan Lembaga di sini turut menyifatkan keseluruhan prestasi permainan yang ditunjukkan pasukan Kelantan adalah sangat baik.

"Bahkan kemenangan ini akan mampu menjulang nama Kelantan di persada arena sukan negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman menganggap kemenangan pasukan Kelantan menjulang Piala Malaysia merupakan sebuah hadiah yang besar sempena 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan.

"Sempena 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, pasukan bola sepak kita memberikan hadiah yang besar kepada kita semua," katanya.

Mengulas kenyataan yang sama, Adun Guchil turut menyifatkan kemenangan Kelantan ke atas Negeri Sembilan itu sebagai pemberian dua hadiah.

"Ia umpama sebuah sejarah dan kita dikurniakan hadiah sempena dua perkara iaitu perlantikan Sultan Kelantan yang baru serta ulangtahun ke-20 pemerintahan PAS di Kelantan," katanya.

Tegasnya, sejarah yang dicatatkan ini diharapkan merupakan signal awal kepada kemenangan Pakatan Rakyat di Galas, Batu Sapi yang membuka laluan ke Putrajaya.

Dalam pada itu, Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang turut mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada para penyokong yang telah menyertai rombongan tajaan PAS ke Stadium Bukit Jalil semalam bagi membantu menguatkan sokongan ke atas pasukan Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia semalam.

"Penyokong-penyokong yang kita hantar ini adalah jentera dan pengundi kita. Kita berterima kasih kepada mereka sekaligus meraikan mereka di dalam program-program yang mereka suka," ujarnya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan ujarnya turut menyediakan program-program susulan bagi meraikan penyokong-penyokong di Dun Galas.

Program yang disediakan adalah berbeza mengikut kawasan yang telah ditetapkan; seperti perlawanan sepak takraw, karom, futsal dan sebagainya.

Ia merupakan respon positif yang ditunjukkan setelah program menghantar penyokong menyaksikan perlawanan semalam.

"Melihat kepada maklumat yang diberikan kepada saya, penyokong-penyokong kita yang pergi ke sana menjunjukkan akhlak yang baik, tidak meninggalkan solat dan diharapkan mereka ini dapat menjadi contoh kepada pemuda-pemuda Islam lain." katanya lagi. -n45galas
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .