http://episodeperjuangan.blogspot.com
1.   Keputusan pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi sedikit sebanyak   membuatkan kita sedih apabila keputusannya tidak berpihak kepada kita [ Pakatan Rakyat ] di saat kita sangat dambakan kemenangan ke atas Barisan Nasional .
2.  Namun kita tidak boleh  berputus asa , jauh sekali untuk kecewa dengan  perjuangan yang kita  dokong setelah kita yakin bahawa perjuangan ini  adalah benar dan suci .  Justeru keputusan pilihanraya yang tidak berpihak kepada kita bukan bererti kita kalah atau menyerah kalah. 
3. Sebaliknya kekalahan kita dalam pilihanraya kecil baru - baru ini membangkitkan kembali semangat untuk terus berjuang dengan memperbaiki segala kelemahan dan membetulkan segala kesilapan .
4. Sewajarnya kita bersikap positif dan senantiasa optimis   terhadap masa depan perjuangan Islam yang kita dokong ini. Tanpa perlu   kita saling tuding menuding atau salah menyalah antara satu sama lain ,   sebaliknya kenal pasti kelemahan dan kekurangan yang perlu diperkasa dan diberi nilai tambah untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang .
5. Kita selamanya tidak boleh bergantung kepada kelemahan musuh untuk mencipta kemenangan bahkan kita mesti miliki keupayaan sendiri untuk melakar peta kemenangan dan tentunya kita mempunyai keistemewaan tersendiri sebagai sebuah Gerakan Islam untuk mencapai matlamat perjuangan ini.
6. Tanpa memandang rendah pada tahap kekuatan dan kemampuan Barisan Nasional   , kita jangan hanya menuding punca kekalahan dalam pilihanraya kepada   mereka  , kerana sifat mereka sebagai musuh politik kita , pastinya   mereka akan melakukan apa sahaja demi mencapai kemenangan .
7. Persoalannya kenapa kita boleh dikalahkan oleh mereka sedang mereka juga boleh dikalahkan oleh kita. Sebagai contoh , pasca pilihanraya umum yang lalu [ 2008 ] , kita telah melalui 13 kali pilihanraya kecil dan kita Pakatan Rakyat memenangi 8   daripadanya iaitu Permatang Pauh , Penanti , Permatang Pasir , Bukit   Gantang , Bukit Selambau , Kuala Terengganu , Manek Urai dan Sibu .   Sementara Barisan Nasional menang 5 kerusi iaitu di Batang Ai , Bagan Pinang , Hulu Selangor , Batu Sapi dan Galas .
8.  Senario pilihanraya kecil ini  menyaksikan masing - masing parti  mempertahankan kerusi  yang telah di  menangi masing - masing dalam  pilihanraya umum kecuali kerusi Hulu  Selangor dan Galas berjaya  dirampas oleh Barisan Nasional sementara kerusi  Kuala Terengganu dan Sibu berjaya dirampas oleh Pakatan Rakyat .
9. Realiti ini menunjukkan kedua - kedua parti tidak boleh berasa selesa dengan kemenangan   yang dicapai apalagi untuk angkuh dan congkak dengan sokongan yang   diperolehi , kerana politik moden hari ini jelas menunjukkan bahawa ,   sesebuah parti kini boleh menang dan boleh kalah dengan mudah . Bukan sahaja kerusi tetapi juga kerajaan .   Buat masa ini secara realitinya telah  ada 5 buah negeri yang  mengalami  pertukaran kerajaan malah kerajaan persekutuan juga hampir  bertukar  tangan apabila kini telah hilang majoriti dua pertiga .  Termasuklah  kerusi - kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan yang  majoritinya beralih  tangan kepada Pakatan Rakyat .
10.  Ini adalah fakta yang mesti  diinsafi oleh semua termasuk kita ,  walaupun kita telah berjaya  mengekalkan kerajaan di Kelantan selama 20  tahun . Tempoh yang  dipertahankan ini bukan untuk dibangga jauh sekali  untuk berasa angkuh  dan sombong , tetapi ianya diraikan untuk menimbulkan rasa syukur dan insaf betapa besarnya amanah dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul sebagaimana ia dirasai pada hari pertama kita mengambil alih pemerintahan di Kelantan pada 1990 yang lalu.
11.  Kita kalah di Galas dan Batu  Sapi saat kita sedang siap menghadapi  pilihanraya Sarawak dan juga  pilihanraya umum kelak . Saya kira tidak  perlu kita ratapi kekalahan  yang diterima kerana ia tidak mungkin lagi  merubah keputusan ,  sebaliknya fokus kepada persiapan strategik untuk  memenangi pilihanraya  umum ke 13 . Post Mortem yang  teliti , benar  dan jujur mesti  dibentang untuk memastikan pergerakkan kita dihari esok  berjalan lancar  sebagaimana dirancang .
12.  Usah kita berasa malu dan  hina untuk mengakui kelemahan justeru ia  tidak menghilangkan sedikit pun  kemuliaan kita asal sahaja kita  bermaksud lurus dan ikhlas. Malah ini  bukan masanya kita mahu menilik  "hidung tinggi" dan menggilap "kasut  kilat" sebaliknya ini adalah detik  dan ketikanya kita merendah diri ,  mengakui kelemahan , bersedia  ditegur dan dimuhasabah serta apa yang  paling penting ialah sedia  berubah ke arah yang lebih baik .
13. Kita  juga mesti realistik  . Elakkan sentimen dalam membaca situasi dan  jauhi emosional dalam  merangka strategi. Mesyuaratlah dengan hati yang  damai dan jiwa yang  tenang tanpa pra sangka. Bawa jiwa yang setia pada  jamaah dan wala' pada  perjuangan Islam yang didokong. Bajai ukhuwwah  dan rapatkan saff kita .  Akur pada fakta dan bertindak dengan bijak  berasaskan keputusan jamaei .
14.  Sayugianya kita insaf bahawa  kemenangan adalah kekal milik Allah swt.  Allah jua lah yang akan  menganugerahkan kemenangan tersebut . Apa yang  kita mahu ialah  kemenangan yang dikurniakan secara redha kepada kita  bukan kemenangan  yang diberi secara istidraj [ beri dalam murka ] .
15.  Kekalahan kita di Galas dan  Batu Sapi bukan pengalaman pertama yang  dialami oleh parti tetapi sejak  tahun 51 , entah berapa kali parti  kalah namun tidak pernah pula  generasi terdahulu patah hati dan  semangat dalam meneruskan perjuangan  sehinggalah ia diwariskan kepada  kita hari ini . Ingatlah perjuangan ini  tidak akan berakhir hari ini  sebagaimana ia tidak diasaskan pada hari  ini . Bukan kita yang memulakan perjuangan ini , maka demikian juga bukan kita  yang akan mengakhiri perjuangan ini .



