Ikuti Blog ini

PAS ucap terima kasih pada petugas Pakatan

KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz mengucapkan terima kasih kepada para petugas Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP dari seluruh negara yang membantu di dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menerima kekalahan calon PAS di Galas dan PKR di Batu Sapi.

“Kita akui ada kelemahan dan kita sedia baiki kelemahan dan kesilapan,” ujarnya di laman twitter.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada BN yang memenangi kedua-dua PRK itu.

“Bolehlah buat pilihan raya awal untuk dapat mandat baru,” ujarnya.

Mahfuz seterusnya menggesa para petugas Pakatan Rakyat supaya meneruskan perjuangan.

"Jadikan kekalahan Batu Sapi dan Galas seperti di Ijok dan bangkit semula pada pilihan raya 2008 dengan syarat perbaiki kelemahan dan perbetul kesilapan kita," ujarnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang terus memberikan kepercayaan kepada PAS dan PKR di dalam kedua-dua PRK tersebut.

“Tahniah rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menukilkan serangkap pantun berhubung keputusan kedua-dua PRK itu.

Udang galah dibuat kari,

Dicicah ketupat daun palas,

BN tak kalah di Batu Sapi,

PAS tak menang di Galas.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghargai kegigihan jentera parti dan rakan-rakan Pakatan Rakyat bagi kedua-dua PRK itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah, cabaran untuk ditingkat dalam usaha meneruskan agenda reformasi.

Bagi Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan, kekalahan di dalam PRK jangan dibaca sebagai kalah berjuang.

“Selama kita bersama kebenaran, ia adalah kemenangan. Sabar harungi medan dengan kekalkan prinsip dan akhlak,” ujarnya.

Sambil menyeru petugas parti meneruskan dakwah dan penerangan, beliau menambah, tiada kemenangan percuma buat Gerakan Islam, justeru politik atau siasah pilihan raya hanyalah wasilah atau alat.

Pada PRK Galas, BN menang dengan majoriti 1,190 undi.

Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi sementara calon BN, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi di mana 132 undi rosak.

Jumlah pengundi yang membuang undi adalah 9,555 atau 83 peratus.

Keputusan itu diumumkan pegawai pengurus PRK itu, Wan Mustapha Wan Ab Hamid di Dewan Sivik Gua Musang.

Bagi PKR Parlimen Batu Sapi, BN mengekalkan kerusi itu apabila calonnya dari PBS, Datin Linda Tsen yang mendapat 9,773 undi menang dengan majoriti 6,359 undi.

Calon PKR, Ansari Abdullah memperoleh 3,414 undi dan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengutip 2,013 undi.

Hanya 15,774 pengundi atau 61.47 peratus keluar mengundi di Batu Sapi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Hamsan Awang Supain di Dewan Komuniti Sandakan. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .