Ikuti Blog ini

UMNO BN Mainkan Isu Geran Tanah Pula, Tiada Masalah Bagi TGNA

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak dakwaan kerajaan negeri pimpinannya tidak akan memberikan geran tanah kepada penduduk di Gua Musang.

Tinggal tiga hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Galas, Mursyidul Am PAS menegaskan, geran tanah akan diberikan selepas mendapat kelulusan daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

“Kita akan beri geran tanah, tidak timbul isu tidak mahu beri (geran tanah).

“Kita tidak suka cakap kosong,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di Bandar Baru Lojing di sini.

Selepas mesyuarat khas itu, Nik Aziz melawat perkampungan Orang Asli dan menyerahkan sumbangan kepada penduduk.

Turut hadir calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dan Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob ketika ditemui berkata, program penyerahan geran tanah kepada penduduk akan diadakan secepat mungkin.

“Kita akan ambil peluang juga dalam tempoh ini (untuk beri geran tanah).

“Ada juga masa ini (kempen) ada juga selepas (pilihan raya),” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah Dan Wilayah itu berkata, pemberian geran tanah akan dibuat selepas Pejabat Tanah dan Jajahan selesai proses persiapan yang sepatutnya.

“Persiapan untuk dapatkan geran itu dibuat oleh pejabat tanah, Exco (Kerajaan Negeri) dan ketua jajahan luluskan saja,” katanya.

Tambahnya, sepertimana amalan sebelum ini, geran tanah tersebut akan dikurniakan oleh Sultan Kelantan.

“Biasanya geran tanah diserah oleh ke Bawah Duli.

“Contohnya yang Tuanku bawa pada Jumaat sebelum ini, Tuanku telah hadir. Seramai 114 orang penduduk Gua Musang telah menerima geran (tanah) dalam majlis berkenaan,” katanya.

Pada 22 Okteber lalu Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan geran tanah kepada 114 penerima pelbagai kaum dari daerah Gua Musang di Istana Persinggahan di sini.

Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid berkata, daripada 114 penerima, 13 daripadanya kaum Cina, dua masyarakat India dan selebihnya masyarakat Melayu.

Menurutnya, penerima menerima geran tanah untuk tempoh sama ada 33,66 atau 99 tahun bergantung kepada jenis geran tanah sama ada bangunan atau pertanian serta bergantung kepada penerima sama ada mereka merupakan anak Kelantan atau sebaliknya.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas Khamis ini menyaksikan pertandingan antara Dr Zulkefli dan calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusoff.

Kerusi DUN itu kosong ekoran kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus pada 27 Sept lepas. -TMI
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .