MOHD SOBERI SHAFII
Seminggu telah berlalu selesainya Perhimpunan Agung UMNO Malaysia yang berlangsung di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur. Tentunya AMANAT PRESIDEN dipenghujung hari terakhir Perhimpunan itu menjadi tumpuan seluruh ahli-ahli UMNO terutamanya ahli-ahli perwakilan yang dipilih didalam Bahagian akan berada didalam Dewan Merdeka untuk mendengar dengan penuh minat.
Biasanya diwaktu itu Dewan Merdeka dipenohi oleh semua perwakilan dan tidak akan ada kerusi yang kosong tapi malangnya pada Perhimpunan kali ini kerusi perwakilan didalam Dewan Merdeka hanya dipenohi oleh 70% ahli perwakilan itu pun sudah termasuk saya yang mewakili UMNO Bahagian Ketereh.
Semasa pemilihan berlangsung diperingkat Bahagian untuk menjadi perwakilan terlebih dahulu dipilih melalui pertandingan, yang menang dikira hebat, tapi malangnya apabila datang ke Dewan Merdeka para perwakilan dalam sekitar 30% tidak berada didalam dewan untuk mendengar ucapan dan pesanan Presiden parti. Sedangkan pesanan Presiden itu adalah PENTING untuk ahli parti membawa pulang ke Bahagian masing-masing bagi dilaksanakan.
Dikira sebanyak 7 amanat Presiden dikutip untuk dilaksanakan di Bahagian bagi menjamin parti akan menang pada pilihanraya umum akan datang dan lebih penting lagi adalah untuk mempertahankan PUTRAJAYA supaya tidak jatuh kepada pihak pembangkang terutamanya Pakatan Rakyat. Sekiranya PUTRAJAYA berjaya ditawan oleh pembangkang maka akan terbongkarlah segala bentuk perkara yang tidak baik (sekiranya ada) yang telah diperalatkan oleh Kerajaan BN.
Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Ab.Razak sebagai Presiden UMNO dalam Amanat beliau telah meminta supaya ahli-ahli mengutamakan maruah dan kepentingan parti daripada kepentingan diri. Ini adalah satu pesanan yang boleh dianggapkan sebagai kunci kekuatan parti. Persoalannya, bolehkan perkara ini dipatuhi oleh ahli-ahli parti diperingkat akar umbi sedangkan amalan pemimpin UMNO diperingkat Bahagian, Negeri dan Pusat masih banyak yang boleh dipertikaikan. Hari ini apa yang berlaku hanya ahli parti di akar umbi telah meletakkan kepentingan parti diutamakan daripada kepentingan diri sedangkan pemimpin meletakkan kepentingan diri lebih diutamakan daripada kepentingan parti. Contoh-contoh akan saya kupaskan dalam ceramah mejelajah Kelantan apabila bermulanya program "Rakyat Mesti Tahu Perkara Sebenar" tentang UMNO kini.
Perkara yang kedua yang hendak saya sentuhkan ialah berhubung dengan saranan Presiden supaya ahli-ahli pentingkan pasukan bukan kumpulan. Bercakap senang tapi apabila sampai untuk dilaksanakan terutamanya di Bahagian tentunya tidak menjadi kerana pemimpin Bahagian itu sendiri yang menciptakan kumpulan, kalau tidak pemimpin Bahagian yang ujudkan kumpulan ada pula campur tangan diperingkat Perhubungan yang meletakkan kroni supaya di Bahagian yang tidak disukainya terdapat kumpulan yang pro perhubungan ataupun pemimpin pemimpin tertentu. Saya mengalami suasana begini.
Ketiganya ialah UMNO mesti menuju sifar masaalah. Cadangan ini sama sekali tidak akan tercapai selagi pucuk pimpinan UMNO diperingkat Ibu Pejabat tidak mahu mendengar masaalah yang dibawa oleh ahli-ahli diakar umbi. Sikap memilih bulu dan mengambil mudah untuk tidak mendengar dan menyelesaikan masaalah ahli-ahli diakar umbi akan membuat ahli-ahli akan kecewa dan ianya akan menjejaskan parti apabila sampai masa pilihanraya. Ahli-ahli akan protes sama ada secara diam ataupun secara terang-terang dan ada juga ahli-ahli parti secara 'gantleman' akan meninggalkan parti walaupun sudah lama menjadi ahli bahkan lebih lama daripada Presiden parti.
Apabila seorang ahli parti mengambil keputusan secara 'gantleman' meninggalkan UMNO, itu tidak bererti orang itu hanya sebatang kara, mungkin bersamanya ada satu ratus orang, dua ratus orang ataupun seribu orang yang akan bersamanya apabila tiba masa yang sesuai. Dan apabila suasana itu terjadi maka hasrat Presiden UMNO didalam ucapan pengulungan di Persidangan Agung UMNO yang lalu untuk mempertahankan PUTRAJAYA dengan cara apa sekalipun hanya akan menjadi sebagai sebuah catitan.
7 amanat Najib yang disiarkan oleh Berita Minggu pada hari Ahad 24hb. Oktober 2010 lalu tidak akan menjadi kenyataan dan tidak akan berjaya dilaksanakan di Kelantan selagi pemimpin diperingkat negeri mengamalkan sikap melayan kepada hanya mereka yang terpilih dan dipilih. Pemimpin yang berkepentingan diri, pentingkan puak dan tidak suka mendengar dan menyelesaikan masaalah ahli-ahli masih TEBAL amalanya di Kelantan. Kasihan Dato' Sri Najib hanya berdua. - newkk.blogspot.com