Cadangan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar diadakan majlis pertemuan dan dialog antara agama bagi menangani masalah sosial mendapat reaksi berbeza dari kalangan para ulama.
Bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin yang bersetuju dengan cadangan itu menyifatkan pendekatan tersebut langkah baik dalam membawa mesej keharmonian antara kaum.
Menurut Asri dengan adanya dialog ini bukan menonjolkan perspektif wujud sifat ‘kurang Islam’ sebaliknya ia platform terbaik untuk menangani masalah sosial di negara ini.
“Dialog antara agama ini mencari isu yang membawa kerjasama dari sudut kemasyarakatan, khususnya bagi bukan Islam untuk menerangkan kebaikan dalam Islam.
“Tiada agama yang menghalalkan zina dan arak. Sesetengah agama terlalu menekankan isu-isu spiritual dan lupa tentang gejala sosial.
Menerusi dialog ini mereka akan mendapat manfaat,” katanya ketika dihubungi FMT.
Semalam Nik Aziz berkata isu meliputi judi, arak, zina dan pergaulan bebas boleh dianjurkan menerusi dialog mahupun majlis pertemuan oleh mana-mana badan bebas.
Asri juga tidak keberatan untuk turut serta jika dialog itu diadakan, namun menurut beliau Nik Aziz perlu melakukan inisiatif untuk mengadakan majlis tersebut.
“Nik Aziz perlu ada inisiatif untuk menjadikan dialog ini sebagai platform besar membincangkan isu-isu tersebut. Contohnya memulakan dialog di Kelantan,” cadang Asri.
Tidak berfaedah
Bagi Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pula berpandangan dialog tidak perlu dan disifatkan sebagai ‘tidak berfaedah’.
Katanya, sesetengah isu yang diketengahkan kurang sesuai memandangkan hukum halal haram itu digunapakai oleh agama Islam.
Malah beliau turut mempersoalkan tindakan hasil dari perbincangan mengenai isu pergaulan bebas itu yang meruntuhkan moral dan akhlak hingga membawa kepada gejala sosial.
“Judi arak bagi agama lain tiada apa-apa, hanya dalam Islam yang diharamkan ke atas umat kita. Jika nak bincangkan tentang arak apa akan jadi? Tak kan kita mahu angkat tangan dan undi tanda setuju? Apa pula faedahnya kita bincang urusan keruntuhan akhlak? Apa pula tindakannya selepas itu?” soal beliau.
Beliau turut merujuk kepada kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
“Dalam negara kita sudah letak perlembagaan bahawa Islam itu agama rasmi. Nak bincang buat apa lagi? Jika nak bincang isu khalwat itu bukan haram pada agama lain, tapi bagi kita haram,” katanya.
Sementara itu, merujuk kepada isu orang Islam yang bekerja di premis penyediaan minuman arak, Harussani berpendapat ia kelemahan kerajaan negeri Selangor.
Beliau turut bersetuju dengan tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melarang orang Islam bekerja di premis arak.
“Betul tindakan yang dibuat MPSJ dengan melarang orang Islam bekerja di premis arak. Tapi kerajaan negeri Selangor pula bersekongkol. Mereka ada kuasa untuk buat peraturan tapi masih lemah dalam membuat perlaksanaan.
“Hukum tetap haram bagi orang Islam bekerja di premis itu, institusi sudah larang tapi kerajaan negeri Selangor tidak terima. Itu tidak betul,” jelas Harussani.-BO