ANALISIS AWAL PASCA PENAMAAN CALON HARI INI
Seminggu  kemudian (16 Januari), pihak PAS-Pakatan Rakyat pula mengumumkan  calonnya seorang bekas guru, Normala Sudirman selaku Ketua Muslimat PAS  Labis.
Diikuti  pula pengumuman Umno-BN (19 Januari) yang mengemukakan seorang bekas  ADO, Mohd Azahar Ibrahim seorang pegawai kerajaan bukan aktivis parti.
Berikutan  itu, sudah muncul tiga nama calon yang bakal bertanding yang bermula  dengan penamaan calon 22 Januari dikuti dengan poengundian pada 30  Januari. Ia menyaksikan tempoh kempen selama tujuh hari, antara yang  terpendek diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
Oleh  itu, faktor calon menjadi isu yang menarik sebagai penentu kemenangan  pilihan raya kecil Tenang kali ini. Namun, berdasarkan pemerhatian awal  senario selepas pengumuman calon-calon, mendapati kemungkinan faktor  calon berpihak kepada PAS-Pakatan Rakyat.
Teori Dr. Mahathir
Walau  bagaimanapun, kemungkinan itu adalah bersandarkan pelbagai persoalan  (skeptikal). Antaranya, nilai bersih, mesra dan cakna pengundi bakal  menentukan sejauh mana masing-masing calon itu memenuhi nilai-nilai yang  harmoni untuk bersaing.
Sehubungan  itu, ada beberapa sudut analisis yang perlu diberi perhatian. Antaranya  sudut pandangan calon bersih mengikut hemat (baca teori) Dr. Mahathir.
Menurut  Dr. Mahathir, ekoran daripada pencalonan Tan Sri Isa Samad selaku calon  pilihan raya kecil Bagan Pinang (11 Oktober 2009), Dr. Mahathir pernah  mencoretkan di dalam blognya (24 September 2009) bahawa seorang calon  yang bersih pun boleh kalah dan calon yang kotor pun boleh menang.
Justeru  dalam konteks Bagan Pinang, Umno-BN mempunyai ‘simpanan tetap undi’  yang besar iaitu pengundi pos tentera dan pengundi (India) di ladang,  maka logiknya Dr. Mahathir mempercayai sesiapa juga yang dilantik  sebagai calon, besar kemungkinan dia akan menang.
Dalam  hal ini, senario Bagan Pinang hampir sama dengan pilihan raya kecil  Tenang yang mempunyai jumlah pengundi peneroka Felda dan pengundi ladang  kira-kira 4,800 orang atau 33 peratus daripada 14,635 pengundi  berdaftar di Dun Tenang. Secara logiknya menurut teori Dr. Mahathir, BN  selayaknya menang atas jumlah ‘simpanan tetap undi’ yang ada tanpa  mengira siapa calon.
Analisis peluang
Justeru  dalam konteks Dun Tenang, tanpa mengira apa isu yang berbangkit  natijahnya Umno-BN boleh menang mudah. Ini kerana menurut sumber Umno,  keahliannya sahaja sudah ada kira-kira 4,000 orang.
Daripada  jumlah ini, sebahagian besarnya iaitu seramai 2,300 orang adalah  pengundi peneroka Felda dan 1,700 orang merupakan pengundi Melayu di  kampung-kampung tradisi. Ia bermakna, daripada 4,800 orang ‘simpanan  tetap undi’ itu hanya 800 orang yang belum ahli Umno tetapi komited  mengundi BN.
Berdasarkan  keputusan pilihan raya umum 2008, undi BN ialah 6,367. Daripada jumlah  ini, 4,000 undi ahli Umno, maka selebihnya lagi (2,367 undi) adalah  pengundi Melayu yang belum ahli Umno (800 undi), undi ahli MCA dan undi  pengundi terapung (bukan ahli mana-mana parti).
Ahli  MCA mungkin tidak ramai mengundi BN untuk calon Dun Tenang pada pilihan  raya lepas kerana protes. Oleh kerana itu, PAS menang di tiga daerah  mengundi sekitar Bandar Labis.
Hakikat  itu, PAS mendapat lonjakan sebanyak 1,737 undi, iaitu dari 2,138 pada  2004 kepada 3,875 pada 2008. Ia suatu gambaran pengundi Cina yang selama  ini terbelenggu dengan MCA sudah menunjukkan sikap berubah. Justeru  apakah pada pilihan raya kecil kali ini, PAS akan dapat mempertahankan  undi ini?
Ataukah  PAS mampu meraih sokongan baru daripada sejumlah kira-kira 3,900 undi  yang tidak keluar mengundi pada 2008. Mungkinkah juga PAS sedia meraih  sokongan kira-kira 800 pengundi Melayu yang belum jadi ahli Umno?
Sehubungan  itu, peluang yang dilihat baik bagi PAS-Pakatan Rakyat ialah kepada  sejauh mana faktor calon dapat mempengaruhi mood keluar mengundi  beramai-ramai.
Jangkaan  keluar mengundi musim ini boleh jadi 85 peratus. Ini bermakna kira-kira  12,540 bakal keluar mengundi pada pilihan raya kecil nanti. Jika  ditaksirkan kepada undi status-quo 2008, BN mempunyai undi 6,367 dan PAS  3,875 undi. Selebihnya nanti sekitar 2,298 adalah undi rebutan. Sejauh  mana upaya masing-masing parti menguasai undi rebutan ini adalah suatu  peluang dan tugasan berat kepada pasukan kempen PAS-Pakatan Rakyat dan  pasukan kempen calon Cukgu Mala.
Ini  kerana faktor calon amat signifiken sebagai penentu kemenangan yang  menyaksikan persaingan calon muslimah berdepan dengan calon lelaki yang  umurnya sebaya.
Calon yang bersih
Faktor  penerimaan masyarakat setempat terhadap calon juga perlu dijadikan  kriteria utama pemilihan. Jika calon itu bersih sahaja tapi tidak  mempunyai semangat berkhidmat kepada rakyat dan belum diakui  kepimpinannya, ia boleh menjejaskan peluang kemenangan.
Calon  berkenaan mesti mampu membawa visi dan misi perjuangan parti  membahagiakan rakyat di kawasan yang diwakilinya melalui pelbagai  aktiviti, misalnya program kebajikan dan sentiasa cakna terhadap  kehidupan rakyat. Maka visi dan misi ini mesti dizahirkan dalam agenda  kempen calon.
Walau  apapun, politik pilihan raya adalah seni kempen yang serba mungkin.  Suatu seni yang harus diolah sebaiknya bagaimana seorang calon yang  bersih bila bersaing dengan calon yang kotor, boleh memenangkan calon  yang bersih.
Namun  jika direnung kepada teori Dr. Mahathir, maka calon yang bersih  berhadapan dengan calon yang kotor, belum tentu yang bersih boleh  mencapai kemenangan.
Dalam  pilihan raya kecil Bagan Pinang, Isa Samad diturun bertanding dengan  imej ‘perasuah politik’ ketika pemilihan majlis tertinggi Umno. Ia  berjaya digambarkan oleh pasukan kempen BN sebagai mangsa politik kotor  dalam Umno, bukannya perasuah politik.
Maka  Isa layak dipilih dan menang. Justeru dalam konteks pilihan raya kecil,  isu calon diperbesar-besarkan bukannya parti. Bagan Pinang yang besar  jumlah ‘pengundi simpanan tetap’ BN (tentera dan ladang) dikira mudah  menerima gambaran sebegitu, meskipun calon PAS ketika itu, Zulkefly Omar  seorang yang bersih.
Namun,  harus juga dilihat apa yang berlaku pada pilihan raya kecil Permatang  Pasir (25 Ogos 2009). Pihak Umno-BN mengemukakan calon yang kotor,  tetapi kalah. Walau pun calon BN itu seorang peguam, tetapi dikatakan  terlibat dengan melesapkan duit pelanggannya dan berbohong berkenaan  dengan jumlah isterinya.
Keputusannya  BN kalah, dan pasukan kempen BN tidak berupaya memaksa pengundi, kerana  di situ jumlah ‘pengundi simpanan tetap’ BN agak kecil dan pengundi pos  tidak sampai 50 orang. Hal ini (pengundi simpanan tetap), cukup berbeza  Permatang Pasir dibandingkan dengan Tenang.
Atas  pengalaman tersebut, mungkin Umno-BN sudah serik untuk mencalonkan  calon yang kotor. Terutama selepas PAS-Pakatan Rakyat telah mengemukakan  seorang calonnya lebih awal, seorang guru muslimah yang dikira rapat  dengan rakyat dan penyayang serta calon yang bersih. Malah diktakan  telah terlibat lebih awal memahami hati-budi dan citarasa rakyat  setempat melalui Pusat Khidmat Masyarakat PAS Dun Tenang.
Mengetahui  keadaan tersebut, tindakan BN ialah tidak harus meletak seorang calon  yang dilihat mudah dijadikan isu oleh parti lawan. Maka pemangku ketua  bahagiannya, Rosdin Mahmud tidak wajar diturunkan kerana ia dikatakan  rapat dengan Chua Soi Lek yang tersabit dengan pengakuan seks terlarang  dan asalnya anak Negeri Sembilan bukan Johor. Ia pasti ditolak oleh  pengundi peneroka dan pengundi bandar.
Apa  yang penting bagi BN, ialah bagaimana faktor calon boleh membantu BN  untuk menang pilihan raya kecil Tenang. Isu calon yang bersih sudah  menjadi keutamaan. Maka secara terpaksa, orang bukan parti, Mohd Azhar  terpaksa dipilih untuk menyaingi calon PAS.
Apa  pun, strategi kempen Umno-BN bertanggungjawab membuktikan calonnya  benar-benar bersih berbanding calon PAS. Ini kerana dalam pilihan raya  kecil, pendekatan kempen agresif amat penting. Persepsi rakyat mesti  diutamakan dan dipengaruhi secara bestari.
Berdasarkan  itu, pengalaman pilihan raya kecil Galas cukup tragis kepada  PAS-Pakatan Rakyat. Ia tragis kerana pasukan kempen BN di Galas  mengambil pendekatan agresif dan kotor dengan melakukan putaran isu yang  diada-adakan memburukkan calon PAS.
Lalu  difitnahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad dengan kes berkhalwat sebelum  berkahwin dengan isterinya. Walaupun isu itu dinafikan, tetapi putaran  terus dibuat atas kepercayaan pengundi akhirnya akan percaya sekiranya  diulang-ulangkan. Mungkin cara yang sama akan dilakukan oleh BN di  Tenang dalam mengalih sokongan pengundi supaya tidak menerima calon  Cikgu Mala. Oleh itu, pasukan kempen PAS harus bijak menggunakan taktik  pre-amptive bagi menduga pendekatan kotor Umno-BN itu.
Penentu kemenangan
Berdasarkan  dua pilihan raya kecil di Kelantan, pertama di Manek Urai (14 Julai  2009) dan keduanya di Galas (4 November 2010), faktor calon amat  kritikal sebagai penentu kemenangan bagi kedua-dua belah pihak.  Masing-masing parti telah melakukan pemilihan calon dengan cermat dan  mengambil kira semua sudut, agar memenuhi harapan dan persepsi positif  pengundi.
Di  Manek Urai, PAS kalah tahun 2004 dikatakan kerana calonnya tidak  popular berbanding Ismail Yaacob, wakil rakyat sebelum itu. Sebaliknya  PAS telah menang semula 2008 setelah Ismail Yaacob kembali bertanding.  Kemudian pada pilihan raya kecil Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dipilih  kerana sifatnya yang seakan sama Ismail Yaacob.
Pihak  Umno-BN juga turut meneliti calon yang mampu menang berpandukan pilihan  raya 2004, ketika itu menamakan ketua pemudanya, Zulkifli Omar yang  dikira popular untuk memenangi hati pengundi muda berbanding calon PAS  Mohd Zamzuri yang juga ketua pemuda. Atas formula yang sama, pada  pilihan raya kecil Manek Urai, Umno-BN telah menamakan ketua pemudanya,  Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calon. Namun, sifat calon PAS, Mohd Fauzi  (mirip Ismail Yaacob) dikatakan lebih mesra di sisi pengundi Menak Urai.  Layaknya PAS menang tipis di situ.
Sehubungan  itu, pilihan raya kecil Tenang kali ini menarafkan faktor calon sebagai  penentuan teratas berbanding faktor isu-isu lokal kerana sifat sosial  pengundi Tenang yang agak sacred, mementingkan hubungan intim, bersemuka  dan ramah. Maka, semua sifat sosial tersebut perlu ada pada wajah,  tutur kata dan gerak fizik calon yang bertanding. Mungkin Cikgu Mala  adalah kelebihannya kerana beliau seorang guru yang dilatih dengan  psikososial dan sudah mengajar 13 tahun anak-anak pengundi di situ.
Faktor jantina
Latar  belakang calon Cikgu Mala itu secara logiknya adalah semestinya mesra  wanita yang dilengkapkan lagi sebagai aktivis muslimah. Ia sinonim  dengan pengundi Tenang yang mempunyai 51 peratus (7,523 orang) pengundi  wanita daripada keseluruhan 14,753 pengundi. Tambahan pula pecahan  pengundi ikut kohot umur, wanita warga emas seramai 1,893 (55.3 peratus)  dan kumpulan pengundi dewasa wanita 3,214 (50.4 peratus). Ini satu  peluang bagi calon PAS-Pakatan Rakyat meraih simpati tinggi golongan  pengundi wanita berbanding calon BN, seorang pegawai lelaki.
Apa  pun keupayaan menguasai hati-budi pengundi wanita harus dikongsi sama  dengan sambutan pengundi lelaki. Di sini, keupayaan pasukan kempen untuk  membawa isu-isu yang berkaitan sentimen jantina amat penting. Di  samping pasukan kempen calon harus agresif di dalam menyampaikan rayuan  dan kesedaran pengundi untuk memilih calon PAS-Pakatan Rakyat, Cikgu  Mala sebagai yang terbaik kerana rapat dengan rakyat berbanding calon  BN, Mohd Azahar seorang pegawai tadbir yang belum aktif dalam parti.
Apa  yang utama, penampilan pasukan kempen calon Cikgu Mala hendaklah turut  berlaku ke dalam kelompok pengundi muda, kerana gelanggang utama kempen  calon Umno-BN, ADO Azahar ialah pengundi di bawah 40 tahun sekitar 4,934  (33.44 peratus). Lebih-lebih lagi pengundi muda wanita yang dilihat  terbatas maklumat tentang perjuangan PAS-Pakatan Rakyat, maka kehadiran  Cikgu Mala amat perlu bagi meraih sentimen dan sokongan.
Semoga  kempen calon pada pilihan raya kecil Tenang kali ini membuahkan hasil  berbeza dengan Galas. Harapannya, Dun Tenang sedia tenang dalam melakar  suatu sejarah gemilang menerima calon wanita mewakili kepentingan rakyat  berpihak kepada PAS-Pakatan Rakyat.
from arusperjuangan






 


 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
