Kuala Terengganu: Seorang anggota polis cedera di kepala selepas terkena tembakan rakannya sendiri ketika mereka bersembang di rumah bujang kuarters Balai Polis Batu Rakit, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi ketika anggota polis berkenaan yang berusia 20-an dikatakan menutup semula tempat mengisi peluru pistol Smith & Wesson .38 yang dibawanya sebelum ia meletup tiba-tiba.
Harian Metro difahamkan ketika kejadian, anggota berkenaan yang akan memulakan tugas kira-kira jam 8 pagi memeriksa senjata itu di hadapan mangsa, Konstabel Md Rudzki Mohd Rozlan dari Melaka yang berusia 20-an.
Peluru berkenaan menembusi kepala Md Rudzki melalui kening kiri menyebabkan berlaku pendarahan beku berhampiran otaknya sebelum serpihan peluru keluar melalui sisi kepala mangsa dan terlekat pada dinding rumah berkenaan.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Mohd Jamil ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kedua-dua anggota itu kawan baik dan berada di berek untuk bersiap memulakan tugas.
Menurutnya, selepas menyedari mangsa terkena tembakan, rakannya itu dan beberapa anggota lain membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Setakat ini, polis mendapati tembakan itu dilepaskan secara tidak sengaja dan menolak sebarang unsur jenayah, namun siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.
Harian Metro difahamkan sebelum kejadian mangsa sedang memakai kasut sebelum rakannya yang siap berpakaian seragam datang ke rumah itu untuk bersama-sama bertugas mengawal lalu lintas kejohanan merentas desa di sebuah sekolah berdekatan.
Bagaimanapun, ketika anggota berkenaan memeriksa peluru dalam pistolnya, senjata itu secara tidak sengaja meletup dan mengenai mangsa.
Ketika dibawa ke hospital, mangsa masih sempat bergurau, namun selepas dibedah bagi mengeluarkan darah beku di kepalanya, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan berbalut di kepala dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Sehingga petang semalam, hanya rakan mangsa berada di pekarangan hospital manakala ahli keluarganya dilaporkan dalam perjalanan ke HSNZ. -hm