Diantara haiwan yang banyak disebut di dalam al-Qur'an ialah burung. Kisah mengenainya dimulakan dengan menurunkan dua ayat berbunyi,
"Tiada makhluk yang merayap di bumi, tiada burung yang terbang dengan sayap-sayapnya, melainkan mereka adalah umat-umat yang serupa dengan kamu." (6:38)
"Tidakkah mereka merenungkan burung-burung yang di atas mereka mengembangkan sayap-sayap mereka, dan mengatupkannya? Tiada yang menahan mereka kecuali Yang Pemurah." (67:19)
Burung-burung didapati bersolat dan menyanjung Allah. Dia menjelaskan,
"Tidakkah kamu melihat bagaimana segala yang di langit dan di bumi menyanjung Allah, dan burung-burung mengembangkan sayap-sayap mereka? Masing-masing - Dia mengetahui solatnya, dan sanjungannya; dan Allah mengetahui apa yang mereka buat." (24:41)
Mereka boleh dijinakkan. Cerita-cerita yang berkait dengan mereka didapati di dalam lima kisah Nabi, iaitu Ibrahim, Yusuf, Daud, Sulaiman dan Isa.
Dalam kisah Nabi Ibrahim, mereka disebut apabila Nabi Ibrahim menyeru Tuhan supaya diperlihatkan kepadanya bagaimana Dia menghidupkan orang-orang yang mati. Dia menjelaskan dengan suatu suruhan supaya iktibar diambil daripadanya.
Suruhan-Nya berbunyi,
"Ambil empat ekor burung, dan jinakkanlah mereka kepada kamu, kemudian letaklah sebahagian mereka di atas tiap-tiap bukit, kemudian panggilah mereka, dan mereka akan datang kepada kamu dengan segera." (2:260)
Nabi Yusuf pula diminta interpretasi mimpi bagi seorang daripada dua banduan yang dipenjara bersamanya. Dia bermimpi membawa roti di atas kepalanya dan burung-burung memakan sebahagian daripadanya (12:36). Mimpi itu dihuraikan dengan Nabi Yusuf menyatakan bahawa,
"dia akan disalib, dan burung memakan sebahagian kepalanya." (12:41)
Kepada Nabi Daud, Tuhan telah membuatkan gunung-gunung dan burung-burung memuji-Nya bersamanya (34:10). Dan burung-burung selanjutnya ditundukkan kepadanya:
"burung-burung dalam keadaan berkumpul, masing-masing kembali kepadanya." (38:19)
Anaknya, Nabi Sulaiman, telah diajar percakapan burung (27:16), yang menjadi satu daripada barisan-barisan dalam tenteranya, selain jin dan manusia (27:17). Burung hud-hud berperanan sebagai peninjau yang membawa balik berita mengenai sebuah negeri, Sabak, yang diperintah oleh seorang perempuan (27:22). Hud-hud kemudiannya diperintah membawa sepucuk surat daripada Nabi Sulaiman kepada pemerintah tersebut.
Dan Nabi Isa, sebagai satu daripada mukjizatnya, telah membuat dengan tanah liat suatu imej berbentuk seekor burung, kemudian dia menghembus ke dalamnya lalu bentuk itu menjadi seekor burung yang hidup (3:49).
Burung-burung, bersama beberapa haiwan lain, seperti yang sedia maklum, telah sejak dari zaman dahulu lagi dilatih untuk berburu. Begitu kata Allah berbunyi "daripada binatang berburu yang kamu mengajari" (5:4).
Kecerdikan burung diriwayatkan lagi di dalam al-Qur'an. Seekor burung gagak telah dikirim oleh Allah kepada seorang anak Adam untuk mengajar cara mengebumikan mayat saudaranya yang dibunuhnya. Burung itu menunjukkan dengan mencakar-cakar tanah (5:31).
Allah juga telah mengutus burung-burung untuk menghancurkan sebuah angkatan tentera bergajah.
Dia menjelaskan,
"Dan Dia mengutus kepada mereka burung-burung berduyun-duyun, dengan membalingkan kepada mereka batu-batu daripada tanah liat yang dibakar," (105:3-4).
Sesetengah daging burung baik dimakan, seperti burung puyuh (salwa), yang diturunkan Allah kepada Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya semasa dalam pelarian (2:57, 7:161, 20:80). Kerana keistimewaan daging burung, ia akan menjadi satu daripada hidangan yang diinginkan di syurga. Firman-Nya,
"Dan daging burung, seperti yang mereka menginginkan," (56:21).
Untuk mengakhiri perbincangan mengenai burung, diturunkan sebuah misal daripada Allah berbunyi,
"sesiapa menyekutukan Allah, ia seakan-akan dia jatuh dari langit dan burung-burung menyambarnya, atau angin menerbangkannya ke dalam sebuah tempat yang jauh." (22:31)
Kisah tentera bergajah yang diceritakan tadi dilengkapkan dengan ayat- ayat di bawah, yang mengandungi satu-satunya perkataan gajah di dalam al-Qur'an:
"Tidakkah kamu melihat bagaimana Pemelihara kamu buat terhadap Orang-Orang Gajah? ..... Dia membuatkan mereka seperti daun yang dimakan." (105:1-5)
Spesis: Burung gagak
Nama saintifik: Corvus corax (Common raven)
Era: Nabi Adam a.s.
Sinopsis: Setelah terjadinya pembunuhan pertama manusia (Habil dibunuh oleh Qabil, Allah telah mengutuskan burung gagak untuk mengajar Qabil cara untuk menanam mayat Habil).
Spesis: Hud-hud/belatuk
Nama saintifik: Upupa epops
Era: Nabi Sulaiman a.s.
Sinopsis: Hud-hud telah berhasil menemukan Kerajaan Saba’ yang diperintah oleh seorang ratu bernama Balqis. Mereka menyembah matahari. Setelah menerima utusan Nabi Sulaiman a.s., rombongan ratu Balqis berangkat untuk bertemu dengan pesuruh Allah itu. Lalu Allah mengurniakan hidayahNya yang tiada ternilai kepada Balqis dan pengikutnya untuk beriman dan mentauhidkan Allah, Sang Pencipta Matahari.
Spesis: Burung pipit
Nama saintifik: Passer (true sparrow)
Era: Nabi Ibrahim a.s.
Sinopsis: Semasa Nabi Ibrahim sedang dibakar oleh Namrud yang zalim, seekor burung pipit berulang-alik daripada sebuah kolam ke lembah tempat Nabi Ibrahim sedang dibakar dengan membawa air kolam tadi dalam paruhnya yang kecil. Kejadian ini dilihat oleh malaikat Jibril a.s. dan Jibril bertanya kepada sang pipit, adakah air itu mampu untuk memadamkan api yang menggila marak dan besar itu? Lalu sang pipit menjawab, yang dia tahu bahawa air yang dibawa tidak terpadamkan api yang ganas itu. Namun, sekurang-kurangnya dia telah menjalankan tanggungjawabnya; tidak berdiam diri apabila melihat kekasih Allah dizalimi oleh orang kafir.
Spesis: Merpati
Nama saintifik:Columbia livia (Rock Pigeon)
Era: Nabi Muhammad s.a.w.
Sinopsis: Ketika Nabi Muhammad s.a.w. bersembunyi di dalam gua Thur bersama Abu Bakar, mereka nyaris dikesan oleh kaum kafir Quraisy yang ikut mengejar. Mereka diyakinkan oleh sarang labah-labah yang dianyam kemas di pintu gua dan burung merpati yang bersarang di dalam gua tetapi tidak mengeluarkan bunyi(sebagaimana lazim, burung merpati berbunyi jika ada manusia berhampiran mereka)