Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menyifatkan Presiden Mesir, Husni Mubarak sebagai ‘mula menyembelih rakyatnya sendiri’ selepas tercetusnya pertempuran berdarah antara penyokong presiden Mesir itu dan para peserta demonstrasi pada Rabu, 2 Februari 2011 di Medan Tahrir.
Beliau menyifatkan sedemikian kerana pertempuran itu berlaku selepas 9 hari majoriti rakyat Mesir berdemonstrasi menuntut pengunduran Husni Mubarak daripada kerajaan.
Mubarak, menurut al-Qaradhawi lagi “telah mula menyembelih tanahairnya sendiri dan bertindak seperti tindakan Firaun serta menjadikan sebahagian rakyat Mesir berkuasa ke atas sebahagian yang lain”.
Syaikh al-Qaradhawi turut berdoa supaya Allah membebaskan rakyat Mesir daripada penderitaan mereka dan membebaskan mereka daripada ‘para taghut’.
Ketegasan dan kelantangan al-Qaradhawi
Ketegasan dan kelantangan Syaikh al-Qaradhawi berhubung situasi semasa di Mesir begitu terserlah apabila beliau, melalui stesen satelit al-Jazeera pada 2 Februari 2011, menegaskan adalah menjadi kemestian ke atas setiap rakyat Mesir menyertai ‘Perarakan Jutaan Umat’ yang akan diadakan pada jumaat depan. (telah berlalu -GB)
Perhimpunan tersebut yang diadakan bagi menguatkan tekanan ke atas Presiden Husni Mubarak, disifatkan oleh para peserta demonstrasi sebagai ‘Jumaat Pemutus’ yang merupakan kesinambungan kepada perarakan pada Jumaat lepas yang dinamakan sebagai‘Jumaat Kemarahan’.
Lebih daripada itu, Al-Qaradhawi yang tinggal dalam buangan di Qatar itu, menganggap bahawa “turun ke jalan raya khususnya hari Jumaat, untuk menyertai bantahan merupakan kewajipan syarak ke atas setiap yang mampu pergi ke tempat-tempat perhimpunan dan tidak ada keuzuran yang menghalangnya”.
Sehubungan itu, beliau menggesa para ulama al-Azhar dan lepasan universiti itu agar memimpin dan menyertai perarakan membantah kezaliman regim Husni Mubarak di seluruh Mesir.
Dalam ucapan yang ditujukan kepada Husni Mubarak, al-Qaradhawi memberi amaran kepada Presiden Mesir itu bahawa “kami akan menghadapi kamu dengan doa diwaktu sahur dan dengan setiap orang yang kusut rambutnya dan berdebu tubuh badannya yang jika dia berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan memperkenankan doanya”.
Beliau merujuk kepada hadis Nabi s.a.w yang memperihalkan kewujudan sebilangan manusia yang sangat mustajab doanya, meskipun mereka pada zahirnya kusut masai rambutnya dan berdebu tubuh badannya.
Sebagi ingatan kepada Mubarak, al-Qaradhawi menegaskan bahawa “doa orang yang dizalimi akan diangkat oleh Allah melepasi awan dan akan dibukakan untuknya pintu-pintu langit sambil Dia berkata, “demi keagungan dan ketinggianKu, Aku akan menolongmu walau pun selepas beberapa ketika”.
Peserta demonstrasi yang terbunuh mati syahid
Di akhir ucapannya, al-Qaradhawi memperlihatkan sikap dan pandangannya berhubung rakyat Mesir yang menyertai demonstrasi membantah regim Mubarak dan kedudukan mereka yang terbunuh dalam demonstrasi tersebut pada pandangan syarak.
Dalam ucapan yang ditujukan kepada para pemuda yang menggerakkan demonstrasi di Mesir, al-Qaradhawi menyatakan, “saya mengucapkan syabas kepada para pemuda yang menyertai siri-siri demonstrasi di atas keberanian, kecekalan, kemahuan dan sikap tidak berganjak mereka daripada lokasi-lokasi demonstrasi. Saya katakan kepada mereka, samada kamu menjadi orang-orang yang mulia dan bahagia, atau kamu mati sebagai para syuhada’”.
Terdahulu, dalam perutusan khas, al-Qaradhawi di atas nama Kesatuan Ulama Islam Sedunia, memfatwakan bahawa rakyat Mesir yang terbunuh dalam tunjuk perasaan di Mesir sebagai mati syahid.
Asas kepada fatwa ini ialah hadis Nabi s.a.w yang bermaksud, “sebaik-baik orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah r.a dan seorang lelaki yang pergi kepada pemimpin yang zalim, lantas menyuruhnya melakukan makruf dan menegahnya dari kemungkaran, lantas dia dibunuh”.
Perutusan ini disiarkan oleh laman rasmi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, iumsonline.net.
Difahami daripada fatwa ini, rakyat Mesir yang berdemonstrasi membantah regim Mubarak, pada hakikatnya sama seperti seorang yang tampil membantah pemimpin yang zalim yang mengakibatkannya dibunuh, seperti yang disebutkan dalam hadis yang dinyatakan.
Sumber : onislam.net & iumsonline.net
Fatwa Dr. Yusof Al-Qaradawi di atas menutup terus pintu-pintu penghinaan dan cemuhan UMNO dan juak-juak mereka terhadap demonstrasi ke atas pemimpin yang zalim.
Ulamak2 UMNO? Apa kata tuan-tuan semua?
Dan ingat, Dr Yusof Al-Qaradawi adalah Tokoh Ma'al Hijrah Malaysia 2009 yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia sendiri. -GB