Ikuti Blog ini

Kempen Anti-Zina dan Gejala Sosial: Tahniah Selangor!

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kerajaan negeri Selangor yang terus komited dalam usaha memerangi zina dan gejala sosial di negeri tersebut.

DPPWP dimaklumkan kempen anti zina dan memerangi gejala sosial mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya dari golongan anak-anak muda. Bagi DPPWP, usaha kerajaan Selangor wajar dipuji bagi menjauhkan budaya songsang dan tidak bermoral ini menular ke dalam masyarakat khususnya di negeri Selangor.

Meskipun Pakatan Rakyat (PR) memerintah Selangor tidak sampai 3 tahun, pelbagai usaha ke arah ‘amar ma’aruf nahi mungkar’ telah dijalankan. Ini membuktikan tanggapan bahawa Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh parti politik pelbagai kelompok dan golongan tidak menghalang usaha dakwah dan pelaksanaan Islam dijalankan.

Selain itu, baru-baru ini kerajaan Selangor telah mengharamkan umat Islam bekerja di premis-premis arak yang memberikan kesan positif terhadap umat Islam di Selangor. Ini memberikan ruang buat pekerja Islam agar tidak terjerumus dalam perkara yang haram seperti arak.

Kempen anti zina dan gejala sosial yang dijalankan diharapkan mampu membendung gejala negatif daripada berleluasa di kalangan masyarakat. Sebelum ini Selangor terkenal sebagai antara negeri penyumbang gejala sosial dan masalah kelahiran anak luar nikah yang tertinggi di Malaysia. Dengan jumlah pusat hiburan, kelab-kelab malam, penganjuran konsert di merata-rata tempat, pergaulan bebas, sukar bagi rakyat dan kerajaan Selangor membendung penularan gejala negatif.

Adalah diharapkan kerajaan Selangor terus komited dalam memerangi zina dan gejala sosial di negeri tersebut. DPPWP juga mengharapkan kerajaan pusat mencontohi tindakan kerajaan Selangor dengan melaksanakan kempen yang sama di seluruh negara secara agresif dan bersepadu.

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Naib KetuaDewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

16 Februari 2011 / 13 Rabiul Awwal 1432 (Rabu)

Kiriman: Fadhil B. Osman

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .