Ikuti Blog ini

Ketuanan Melayu Umno tidak laku kepada anak muda

Oleh : Muhammad Aizat Mohd Salleh
7 Rabiulawal 1432H.[MOD]

Apabila memperkatakan tentang ketuanan Melayu, maka kita akan bercakap mengenai hak orang Melayu. Hari ini banyak pihak begitu lantang menyuarakan berkenaan itu terutama daripada Umno dan NGO Pro-Umno.
Bagi anak muda, sesetengah mereka berasa tidak ada keperluan ‘terpekik-pekik’ seperti mana yang dilakukan sesetengah pihak. Mungkin kerana anak muda hari ini tidak tahu langsung, ataupun barangkali sudah faham benar.Bagi anak muda, khususnya pasca-Merdeka yakni mereka yang lahir selepas Merdeka ataupun sepuluh tahun selepas merdeka, Ketuanan Melayu tidak boleh dipaksa kepada mereka untuk diperjuangkan. Lebih lagi anak muda yang faham.

Sejarah

Bukan bermaksud anak muda ini gagal menghayati sejarah, jauh sekali ‘menderhaka’ perjuangan tokoh-tokoh Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan dahulu. Malah ada dikalangan mereka, walaupun tidak melaluinya (situasi perjuangan kemerdekaan), lebih menjiwai melalui penceritaan tokoh dan dokumentari.

Jika dahulu, pelajar dipaksa memahami sejarah melalui buku-buku teks sejarah yang kadangkala faktanya lebih berat sebelah yakni hanya memaparkan perjuangan tokoh Umno yang pro-penjajah. Mereka seumpama Dr Burhanuddin dilabel sebagai tokoh berhaluan kiri, walaupun beliau juga memperjuangkan kemerdekaan yang bersifat anti-penjajah.

Namun, anak muda hari ini, maklumat dan aksesnya lebih luas. Ada facebook, blog, e-book, wikipedia dan pelbagai lagi sumber maklumat untuk mengetahui sejarah.

Bahkan buku-buku sejarah orang Melayu yang bersifat analisis semakin banyak diterbitkan. Misalnya karya Dr Syed Hussin Ali bertajuk Melayu: Masalah dan Masa Depan dan The Malay Dillema karya Tun Dr Mahathir. Malah karya bertajuk Membina dan Meruntuh Malaysia yang ditulis oleh Datuk Ahmad Mustafa Hassan juga sebagai catatan sejarah berkenaan perjuangan Melayu era dahulu dan kini.

Tidak boleh tipu anak muda

Anak muda hari ini tidak lagi boleh ditipu dengan sejarah, apatah lagi ditipu dengan perjuangan menuntut Ketuanan Melayu.

Anak muda akan mempersoalkan dicelah manakah perjuangan Ketuanan Melayu, namun dalam masa yang sama hak mereka untuk mendapatkan biasiswa di dalam pendidikan yang sepatutnya diberikan kepada kesemua anak-anak Melayu dinafikan.

Anak muda juga akan mempersoalkan siapakah sebenarnya pejuang sebenar Ketuanan Melayu pada hari ini, apabila usul di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan ditolak oleh Adun Umno. Sedangkan anak muda boleh membaca sejarah tentang perjuangan Melayu itu.

Anak muda boleh dengan mudah mendapatkan fakta dengan luas dan dapat membezakan bagaimana harga barang yang melambung naik pada hari ini di negara Malaysia jika dibandingkan dengan negara-negara jauh lebih murah yang sama majunya dengan Malaysia.

Begitu juga anak muda akan mempersoalkan berkenaan ‘kekeringan’ peluang pekerjaan di negara tanah tumpah air mereka ini jika hendak dibandingkan dengan negara yang sudah merdeka sama seperti Malaysia. Semua itu anak muda ketahui.

Justeru untuk menipu ‘bulat-bulat’ anak muda dengan perjuangan Ketuanan Melayu sebagai pembela adalah tindakan yang meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri.

Walhal nasib anak muda hari ini tidak juga berubah. Sudahlah perlu membayar semula pinjaman pendidikan, dengan peluang pekerjaan yang tidak menentu serta gaji yang tidak sepadan dengan harga barang dan perbelanjaan. Belum lagi memikirkan bagaimana tempat tinggal, jauh sekali mahu mendirikan rumah tangga.

Saya tidak pasti, bilakah akan berlaku ‘pemuda membakar diri’ kerana kesempitan ini. Kita jangan rasa tidak mungkin berlaku. Ini kerana sifat anak muda itu adalah tidak mudah dijangka (unpredictable).
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .