Ikuti Blog ini

PRK Merlimau: TG Nik Aziz Rasmikan Markas Induk PAS N27 Merlimau

Perasmian Markas Induk PAS PRK Merlimau di Taman Muhibbah, Merlimau oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah selamat disempurnakan pada jam 11.00 pagi tadi.

Di dalam ucapan ringkas TG Nik Aziz di majlis berkenaan meminta semua petugas-petugas PAS untuk pilihanraya kecil N027 DUN Merlimau supaya meningkatkan gerakan menerangkan perjuangan parti kepada masyarakat tempatan dengan menjelaskan tentangan UMNO terhadap Islam selama ini.

Sebelumnya, petugas-petugas PAS bagi PRK Merlimau telah diberikan taklimat oleh Naib Presiden PAS, YB Salehuddin Ayub dan Bekas Pengarah Pilihanraya PRK Dun Tenang, Tn Haji Zulkifli yang mengongsikan pengalamannya di pilihanraya kecil DUN Tenang kepada petugas-petugas PAS untuk PRK DUN Merlimau.

(Oleh kerana pertemuan tersebut adalah pertemuan tertutup, GB tidaklah sepatutnya mendedahkan apa-apa yang disampaikan di majlis berkenaan).

Sementara itu, Salehuddin di dalam menjawab soalan wartawan selepas majlis berkenaan menyatakan calon PAS bagi PRK Merlimau akan diketahui pada hari esok selepas peringkat tertinggi PAS membuat keputusan.

Beliau berharap penamaan calon dan kempen pilihanraya kecil Merlimau akan berlaku di dalam suasana aman tanpa apa-apa insiden yang tidak diingini.

Menjawab satu pertanyaan lain, Salehuddin juga menyatakan bahawa nama calon wanita turut dipertimbangkan oleh PAS bagi mewakili DUN Merlimau.

Malam ini TG Nik Aziz akan berceramah di Pusat Tahfiz As-Solihin Merlimau bersama-sama Sdra. Lim Kit Siang.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .