Kuala Lumpur: Anggota Parlimen Kinabatangan daripada Barisan Nasional Datuk Bung Moktar Radin hari ini ditegur kerana mengeluarkan perkataan kesat semasa persidangan Dewan Rakyat.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menegur Bung Moktar kerana mengeluarkan perkataan 'syaitan bodoh' ketika sesi soal jawab yang bermula pada 10 pagi Khamis.
Perbuatan Bung itu turut tidak disenangi Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam), M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) sehingga sesi soal jawab itu tertangguh selama 15 minit.
Wan Junaidi berkata sebagai Anggota Parlimen yang mewakili rakyat bagi kawasan masing-masing, mereka harus menggunakan perkataan yang sesuai dan bersikap 'gentleman'.
"Saya minta semua orang (Anggota Parlimen) menggunakan perkataan yang baik... perkataan yang tidak betul jangan sesekali dipakai di dalam Dewan.
"Saya berharap perkara ini tidak berlaku lagi kerana kalau keluar juga, ini bermakna seperti peraturan kita sudah masuk ke dalam tong sampah," katanya.
Bung Moktar kemudiannya menarik balik perkataan itu dan berkata beliau hanya mahu meminta penjelasan daripada pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berhubung soal pelaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Kampung Sinar Jaya di kawasannya.
Soalan Bung Moktar dijawab oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek. -BERNAMA
Bung gelar wakil Pakatan ‘syaitan besar’
KUALA LUMPUR, 31 Mac: Belum reda kontroversi mengenai kenyataan bahawa pemandu wanita adalah penyumbang kemalangan jalan raya, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) sekali lagi menimbulkan kekecohan dalam Dewan Rakyat hari ini.
Kekecohan timbul apabila Bung menggelarkan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat sebagai 'syaitan' sewaktu sesi soal jawab lisan pagi tadi.
Gelaran itu pada awalnya ditujukan kepada M Kulasegaran (DAP-Ipoh Timur) yang bangun 'mengganggu' ketika beliau mengemukakan soalan tambahan mengenai kursus peningkatan kemahiran rakyat khusunya kepada golongan wanita kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Beliau bertanya sama ada kerajaan bercadang atau tidak untuk menyediakan kursus kemahiran seperti kursus memasak, membuat kuih dan kraftangan kepada rakyat di Sabah.
Ketika itu, Kulasegaran bangun dan bertanya adakah perlu diadakan kursus memandu kepada golongan wanita.
Bung menuduh Kulasegaran cuba memanipulasi kenyataannya berhubung pemandu wanita sebelum ini untuk memancing golongan itu agar mengundi Pakatan Rakyat.
"Mereka manipulasi kenyataan saya untuk tarik undi golongan wanita supaya sokong Pakatan Rakyat.
"Sudahlah, jangan tipu rakyat. Mereka faham apa yang saya cakap," katanya dengan suara yang agak tinggi.
Ketika itu kedengaran juga suara Datuk Mahfuz Omar (PAS -Pokok Sena) yang berkata bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga tidak bersetuju dengan kenyataan Bung itu.
Bung seterusnya berkata, ramai 'syaitan' yang mengganggunya namun 'syaitan-syaitan ini akan direjam'.
"Kalau pun ada bisikan syaitan di pagi ini, akan direjamlah mereka," katanya.
Kulasegaran bangun membantah perkara itu dan menganggap Bung mengeluarkan perkataan yang tidak baik dalam dewan.
"Apa ini Yang Dipertua...tiba-tiba cakap syaitan," katanya.
Namun Bung terus bertanya soalan dan setelah menghabiskan soalannya, Bung secara tiba-tiba memandang Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan menggelarnya 'syaitan besar'.
"Ini Shah Alam memang syaitan yang besar," katanya.
Khalid bangun dan meminta Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyuruh Bung menarik balik kata-katanya.
"Yang Dipertua, dia (Bung) panggil saya syaitan besar. Minta tarik balik. Ini dewan yang mulia, kena jaga kata-kata," katanya.
Bung terus mempertahankan diri dengan mendakwa mereka yang mula mengganggunya.
Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) pula bangun mempertahankan Bung dengan meganggap wakil Pakatan Rakyat yang tidak menghormati dewan.
Junaidi bagaimanapun menegaskan, dalam apa keadaan sekalipun, mana-mana wakil rakyat tidak boleh mengeluarkan kata-kata kesat.
"Saya faham itu Yang Berhormat. Tapi itu tidak membenarkan sesiapa pun menggunakan perkataan yang tidak betul dalam dewan. Perkara ini saya pertahankan. Kalau tidak semua orang boleh guna perkataan sesuka hati," tegasnya.
Mahfuz pula bangun dan menyokong pendirian Junaidi itu.
"Yang Dipertua, kalau cakap dia terganggu, kita pun selalu terganggu, tapi kita terbuka. Saya pun selalu diganggu. Tapi tak adalah sampai nak menggunakan perkataan yang bagi saya sangat buruk," katanya.
Mereka seterusnya mendesak Bung menarik balik perkataan 'syaitan' itu sehingga Bung terpaksa mengalah dan menarik balik perkataan itu. -HD
Shahrizat sangkal dakwaan pemandu wanita bahaya
KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam menyangkal dakwaan anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat kelmarin bahawa wanita di negara ini memandu kereta secara sambil lewa sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata kenyataan itu menyinggung perasaan wanita yang memandu secara berhemah.
“Kementerian telah meminta pihak polis mengeluarkan statistik kemalangan yang melibatkan pemandu wanita di Malaysia bagi mendapatkan gambaran lanjut berhubung dakwaan Yang Berhormat Kinabatangan itu,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Komite Perempuan Acheh Bangkit (KPAB) di kementeriannya semalam.
Shahrizat turut menasihatkan sesetengah pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan berbentuk ‘bias gender’ bagi mengelakkan mana-mana pihak, terutama wanita, tersinggung. - Bernama
Bung Mokhtar tak berubah perangainya dari dulu sampai sekarang.
Kelmarin, beliau buat kenyataan bahawa pemanduan golongan wanita di negara ini kebanyakannya amat berbahaya sekali gus boleh mengundang kemalangan.
Dakwa beliau, apabila golongan wanita memandu kereta, mereka tidak mempedulikan keadaan sekeliling dan ia menyebabkan pemandu lain terdedah dengan risiko kemalangan.
Kemudian apabila kaum wanita bangun membantah, beliau menyalahkan pembangkang pula memutar belitkan kata-katanya sedangkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sendiri yang menyangkal dakwaannya itu.
Seingat GB, dari dulu lagi beliau pernah mengutuk ahli parlimen wanita:
Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang bangun mengambil bahagian secara sinis berkata: "Mana ada bocor, Batu Gajah pun tiap-tiap bulan pun bocor juga.” ( UM ).
Dewan Rakyat tidak perlu wakil sepertinya. -GB