WarkahDaily, 31 Mac – Rupa-rupanya Barisan Nasional (BN) sudah tidak keruan lagi, hanya dihuni orang yang tiada kelayakan dan rendah integritinya. Dengan kata lain, BN sudah ketandusan orang berkelayakan untuk diangkat sebagai pemimpin.
Dua orang ini juga dipilih Najib untuk ketuai dua entiti kerajaan.
BN ketandusan pemimpin
Kerana ketandusan pemimpin, kerajaan BN sekadar mampu meletak orang yang sudah terpalit dengan kontroversi kotor sebagai pengerusi Felda dan Risda.
Kerajaan pimpinan Najib telah mengangkat kembali seorang yang sudah terpalit dengan amalan rasuah, Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda. Keadaan itu menyebabkan pengamal ekonomi negara begitu sinis dengan lantikan berkenaan sehingga menyatakan, Felda berhadapan masalah atas pelantikan Isa Samad sebagai pengerusi.
Risda juga menjadi mangsa lantikan orang yang bermasalah sebagai pengerusi. Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik juga diangkat Najib untuk mengetuai Risda. Padahal Rahim adalah diibaratkan pemimpin ’buangan’ kerana banyak kontroversi terpalit pada dirinya. Namun ianya dikitar semula oleh Najib kerana sudah ketandusan orang berkebolehan.
Ini menunjukkan betapa rendahnya taraf kerajaan BN sekarang. Ia mungkin memalukan Malaysia sendiri kerana mempunyai ketua di agensi kerajaan yang rendah moral dan maruah.
Perkara ini telah merendahkan martabat sesebuah agensi dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap badan kerajaan berkenaan.
SMM desak Rahim Thamby Chik digugurkan
Dalam perkembangan lain, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah agar menggugurkan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik daripada jawatan Pengerusi Risda kerana mengakui terlibat dengan pendedahan rakaman video seks, yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.
Pengerusi SMM Ahmad Syukri Ab Razab berkata, tindakan Abdul Rahim bersama dua lagi individu yang digelar “Datuk T” yang mendedahkan rakaman video seks itu yang didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai di ’luar norma’ yang diamalkan seorang pemimpin.
Tiada integeriti
Jelas Ahmad Syukri lagi, sebagai individu yang mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan, Abdul Rahim yang juga bekas ketua menteri Melaka seharusnya menunjukkan sikap berintergriti bukan bertindak di luar batasan, lapor The Malaysian Insider semalam.
“Sebagai individu yang pernah menjawat jawatan penting dalam kementerian Malaysia, Tan Sri Abdul Rahim seharusnya menunjukkan sikap intergriti yang boleh dicontohi seluruh rakyat Malaysia.
“Namun apa yang berlaku telah menyebabkan rakyat hilang percaya kepada kepada kredibiliti kepimpinan negara yang sering dihambat dengan skandal-skandal yang mencemarkan imej dan integriti pemimpin itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Abdul Rahim, kumpulan Datuk T juga terdiri daripada ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Trio tersebut telah menggemparkan negara awal minggu lalu apabila bertindak menayangkan rakaman video seks itu kepada media di Carcosa Seri Negara.
Rakaman video seks itu didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat yang dikaitkan dengan Anwar dengan pelacur dari China.
Berikutan pendedahan itu, ketiga-tiga individu terbabit telah disoal siasat polis Bukit Aman dan menyerahkan pita video dan seutas jam tangan jenama Omega sebagai bahan bukti.