KUALA LUMPUR, 17 Mac: Kerajaan BN membelanjakan RM5.968 juta sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Tenang yang diadakan Januari lalu.
Perkara itu dimaklumkan kerajaan melalui jawapan bertulis terhadap soalan Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.
Firdaus dalam soalannya mahu Perdana Menteri menjelaskan jumlah perbelanjaan program kerajaan di Dun Tenang sepanjang Januari 2011 dan adakah ianya termasuk dalam Bajet 2011.
Jawapan itu turut memberitahu jumlah itu dibelanjakan bagi melaksanakan 85 program di bawah peruntukan khas Perdana Menteri dan termasuk dalam Bajet 2011.
Kelulusan peruntukan itu berdasarkan permohonan NGO, persatuan penduduk dan rukun tetangga, jawatankuasa masjid dan kuil.
Firdaus yang juga Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat ketika ditemui kemudiannya berkata tidak hairan BN menang pada PRK itu dengan 'menabur' wang sebesar itu.
"Saya difahamkan peruntukan untuk satu Dun hanya RM250,000 sahaja. Kalau Tenang dapat hampir RM6 juta, maknanya pembangunan di Tenang standard Kuala Lumpur la.
"Tapi habis sahaja PRK Tenang, penduduk ditimpa banjir juga. Jadi pembangunan apa yang dibuat," soalnya.
Katanya, jika mengambil kira jumlah itu, bermakna kerajaan telah membelanjakan lebih RM95 juta untuk 16 kali PRK sejak 2008 lalu.
Maka tambahnya, tidak hairanlah jika ada orang Umno menjadi kaya raya selepas habis pilihan raya kecil kerana mendapat projek sepanjang kempen.
"Biasanya kalau termasuk dalam bajet, bulan Mac baru mula, ini bulan Januari. Tak apalah, kita yakin dengan jawapan ini, cuma pelik sikit lah. Mungkin SPRM boleh siasat," katanya.
Pada PRK Tenang 31 Januari lalu, BN menang menerusi calonnya, Mohd Azahar Ibrahim, dengan majoriti 3,707.
Mohd Azahar mendapat undi 6,699 sementara calon PAS, Normala Sudirman memperolehi 2,992 undi. -Hrkh