Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat berhubung kesan letupan ketiga di loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi di Jepun.
Menurut Nurul Izzah, penjelasan mengenainya perlu kerana rata-rata rakyat di negara itu turut merasa bimbang akan kesan radiasi yang dihebah-hebahkan.
"Apakah peratusan kemungkinan radiasi dari loji tenaga nuklear ini akan tiba di Malaysia, berdasarkan senario 'full meltdown'?
"Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat wajib menghentikan dahulu sebarang perancangan untuk membina loji tenaga nuklear mahupun pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth refinery) di negara ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tahap radiasi loji nuklear di utara ibu negara Jepun, Tokyo dikatakan meningkat 400 kali ganda hari ini di selepas negara itu digegarkan gempa bumi dan dibadai tsunami, Jumaat lalu.
Angin perlahan yang bertiup dari loji nuklear Fukushima Daiichi dikatakan akan memberi kesan ke atas Kyoto termasuk Tokyo.
Perdana Menteri Jepun juga menasihatkan rakyat yang berada pada radius 30km daripada loji nuklear supaya berada di dalam rumah kerana radiasi dilaporkan pada tahap yang boleh mengancam kesihatan.
Menurut Nurul Izzah, perkembangan di Jepun itu terus menggusarkan rakyat di negara ini dan mempersoalkan tindakan kerajaan sama ada mempunyai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan akibat dari pencemaran nuklear jika berlaku.
"Apakah langkah berjaga-jaga yang harus diambil rakyat Malaysia? Adakah Kerajaan Pusat benar-benar bersedia menghadapi situasi pencemaran nuklear yang mungkin terjadi?
"Oleh itu, saya berharap agar pihak Kerajaan Pusat bertindak lebih pantas tetapi tepat dalam menerangkan situasi sebenar di Jepun serta apakah akibat yang mungkin dialami rakyat Malaysia di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak," katanya. -M'kini