Ikuti Blog ini

Penduduk Kg Baru: Kalau Tak Berjaya Di Parlimen, Kami Jumpa Sultan



KUALA LUMPUR 15 MAC : Penduduk Kampung Baru tidak akan berdiam diri jika kampung halaman mereka mahu dibangunkan sesuka hati tanpa persetujuan dan perbincangan yang telus.

Malahan, mereka tidak keberatan untuk bertemu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah jika itu merupakan salah cara untuk mempertahankan tanah warisan mereka.

Salah seorang wakil penduduk berkata, mungkin istana sahaja yang mampu menyelesaikan masalah mereka sekiranya ia tidak berjaya diselesaikan di peringkat parlimen.

"Kalau kita tak berjaya di parlimen, kita menghadap Sultan Selangor, kalau itu juga tidak berjaya kita akan rayu seluruh penduduk Kampung Baru, kita adakan reformasi untuk membela tanah Kampung Baru ini,"katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Deklarasi Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru di Dewan Kelab Sultan Sulaiman malam tadi.

Majlis menyaksikan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat hadir memberikan sokongan kepada penduduk Kampung Baru.

Namun malangnya, majlis yang sepatutnya turut disertai ahli parlimen BN itu, tidak berjaya menarik minat mereka untuk bersama-sama mendengar suara hati rakyat Kampung Baru.

Menurut Munir Nazir pula yang menetap di Kampung Baru sejak tahun 70-an lagi berkata, kerajaan sepatutnya melupakan hasrat untuk melakukan pembangunan di
kawasan yang menjadi lokasi kediaman dan sumber rezeki penduduk Kampung Baru.

"Di sini saya hendak memberitahu, tolong beritahu kepada menteri-menteri yang dikatakan Menteri Wilayah itu, anak-anak Kampung Baru yang ada di sini, kalau tidur
tolong jangan bangunkan, anak-anak Kampung Baru kalau dia bangun susah nanti, tolong sedarkan Menteri Wilayah itu," kata Munir.

Beliau turut mengingatkan, jika kerajaan tetap berdegil mahu pembangunan dijalankan di satu-satunya kampung di ibu negara itu, pemilik dan pewaris Kampung Baru hendaklah dibayar dengan pampasan setimpal dan menyiapkan kawasan penempatan baru yang berbaloi seperti yang dimiliki sekarang.

"Kalau dibiarkan kawasan pasar minggu dibangunkan, biarkan kami dipindahkan tempat yang munasabah dan kami dibayar dengan baik baru dipindahkan, bukan halau begitu saja duduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR),"katanya lagi.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .