Pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sering menindas dan bersikap kuku besi dilihat persis corak pemerintahan bekas diktator Mesir Hosni Mubarak dakwa kepimpinan PKR.
Naib Presidennya, N Surendren berkata Najib yang menerajui BN sentiasa secara konsisten menggunakan apa-apa cara walaupun jahat untuk kekal berkuasa seperti parti yang diterajui Mubarak, Parti Demokratik Nasional (NDP) di Mesir.
“Terdapat persamaan yang luar biasa antara pemerintahan autoritarian selama 30 tahun di Mesir oleh Hosni Mubarak dan pemerintahan menindas selama 53 tahun oleh Najib dan BN ke atas Malaysia.
“Antara persamaannya adalah: pergantungan kerajaan atas suatu sistem polis yang agam untuk menumpaskan pihak pembangkang; kawalan ketat ke atas media cetak dan televisyen; tahanan tanpa bicara yang bermotifkan politik; keadaan darurat berdekad yang tidak dibatalkan; sistem kehakiman yang berat sebelah dan berpihak kepada kerajaan; pilihanraya yang tidak bebas ataupun adil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Namun menurut Surendran, persamaan yang paling ketara adalah kedua-dua pemimpin itu dari masa ke semasa mengheret pesaing politik mereka ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan jenayah yang direka-reka.
“Objektifnya adalah untuk menghancurkan pesaing politik secara politik dan peribadi, dan oleh demikian menghapuskan ancaman kepada pemerintahan mereka.
“Rejim-rejim yang tidak bertoleransi dengan pasti akan menggunakan kaedah seperti ini kerana mereka tidak mempunyai pertimbangan keadilan dan tidak memedulikan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Mubarak digulingkan oleh rakyatnya selepas jutaan mereka berkumpul dan memprotes secara aman di Dataran Tahrir sejak 25 Januari lalu selepas tidak tahan dengan pemerintahan kuku besi beliau selama 30 tahun.
Menurut Surendran, kes Liwat II yang membabitkan Anwar sama dengan apa yang dilakukan Mubarak ke atas pemimpin pembangkang Mesir Ayman El Nour pada tahun 2005 sehingga menyebabkan Alyman dipenjara selama lima tahun.
Anwar semasa pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir juga pernah dipenjara selama 6 tahun.
"Kerajaan Najib menggunakan taktik yang sama sahaja. Mubarak dengan terkenalnya menggunakan mahkamah Mesir untuk memenjarakan Ayman Nour, pemimpin Parti El Ghad yang dipenjarakan selama lima tahun dengan kerja berat. Persamaan dengan pendakwaan Anwar yang sekarang berlangsung adalah amat ketara," katanya lagi.
Justeru Surendren berkata rakyat perlu bangkit untuk memastikan kerajaan BN disingkirkan agar penindasan, korupsi dan kezaliman dapat dihentikan sepertimana Mubarak dan NDP.
"Rakyat Malaysia, bersama dengan dunia, berasa girang melihat melihat pemergian penzalim Mubarak dan kemenangan rakyat Mesir. Sekarang, kita mengalukan hari yang cemerlang apabila rakyat Malaysia mengakhiri pemerintahan membazir, lembap dan menindas BN dan pemimpinnya Najib Razak.
“Pemerintahan BN yang mencerminkan pemerintahan Mubarak ke atas Mesir, mesti berakhir. Untuk kebaikan negara, BN perlu disingkirkan," akhiri kenyataannya itu. -M'kini