Ikuti Blog ini

Ahli Parlimen Jerman prihatin kes Fitnah II dan penggantungan Anwar

Anwar dikunjungi sembilan Ahli Parlimen Jerman yang prihatin dengan kes Fitnah II dan penggantungannya sebagai Ketua Pembangkang.

KUALA LUMPUR: Delegasi Ahli Parlimen Jerman hari ini menyatakan keprihatinan mereka terhadap kes Fitnah II dan isu penggantungan Datuk Seri Anwar dari menghadiri sidang Parlimen.

Bercakap kepada KeadilanDaily, Pengarah Biro Antarabangsa KEADILAN, Yusmadi Yusoff berkata, mereka juga mahu Ketua Pembangkang itu diberi lebih ruang dalam media tempatan.

“Mereka menyatakan keprihatinan terhadap kedua-dua kes itu, selain berpendapat Anwar seharusnya mempunyai ruang di dalam media.

“Mereka menyatakan komitmen untuk berpihak kepada kebebasan dan demokrasi. Anwar pula menegaskan, KEADILAN komited meneruskan agenda demokrasi, kedaulatan undang-undang, kebebasan hak secara demokratik,” katanya.

Anwar menerima kunjungan sembilan Ahli Parlimen Jerman di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen, bagi mengetahui perkembangan kes Fitnah II dan kisah sebenar penggantungan Ketua Pembangkang itu.

Mereka diketuai Dr Thomas Gambke dari The Green Party bersama Holger Ortel (Social Democratic Party), Stephan Thomae (Free Democratic Party) dan Elisabeth Winkelmeier-Becker (Christian Democratic Union/Christian Social Union).



Sebahagian adalah antara Ahli Parlimen yang menguasai kerajaan manakala sebahagian lagi pembangkang di negara berkenaan. Turut hadir ialah Duta Jerman ke Malaysia, Dr Guenter Georg Gruber.

Yusmadi berkata, butir perbincangan turut menjurus kepada masa depan Pakatan Rakyat di Malaysia, khususnya peranan KEADILAN dalam senario politik Malaysia.

“Delegasi itu turut bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang dan kumpulan-kumpulan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya, menambah pertemuan berlangsung sekitar sejam bermula jam 5 petang.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .