KUALA LUMPUR, 18 Mac: Kerajaan BN semakin 'tidak senang duduk' kerana Pakatan Rakyat konsisten berperanan sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran negara, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar).
Beliau berkata, selagi bergelar pembangkang, Pakatan Rakyat akan terus mengkritik segala kesilapan yang dilakukan BN demi mewujudkan negara maju yang mengutamakan kebajikan rakyat.
"Selagi kami menjadi pembangkang, kami akan terus membawa matlamat menyemak dan menyeimbangan kerajaan.
"Segala kesilapan kerajaan sama ada dari sudut dasar atau pelaksanaan kami akan terus mengkritik dan kadang kala mengecam. Oleh sebab itu mereka (BN) berasa panas, rimas dan lemas," kata beliau sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.
Dzulkifly menegaskan, tanpa suara pembangkang, penyelewengan projek-projek mega membabitkan kerugian jutaan ringgit tidak akan terbongkar.
"Kalau tidak kerana pembangkang yang menyuarakan suara rakyat ini, kita tak akan dapat saksikan skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang yang menelan RM12.5 bilion dan pembaziran dalam projek-projek lain contohnya MRT dan Empangan Bakun," katanya.
Projek Empangan Bakun, Sarawak telah menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM450 juta yang dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900 juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.
Bagi Projek Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang pula, anggaran perbelanjaan adalah sebanyak RM53 bilion.
Minggu lalu, DAP turut meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Pemandu Projek Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang meneliti semula pelaksanaan projek itu berikutan kosnya yang tinggi.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata parti itu tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan Projek MRT itu, tetapi penelitian semula perlu bagi memastikan tidak berlaku ketirisan wang rakyat dan mahu ia dijalankan secara tender terbuka.
Tambah Dzulkefly lagi, Pakatan Rakyat juga telah membuktikan mereka bukan bercakap kosong sebaliknya menampilkan buku jingga yang semakin digeruni BN.
"Ketika BN kerap mengecam kami pembangkang hanya pandai bercakap tapi tidak membawa apa-apa penyelesaian, ketika itulah kita menampilkan buku jingga yang menimbulkan rasa cemas BN.
"Inilah dia respons kami sebagai menampilkan satu penyelesaian bagi menyelesaikan segala kemelut yang berpanjangan sama ada ekonomi dan sebagainya.
"Kami menampilkan 10 program reformasi yang tak melebihi RM19 bilion pun.Ini juga sebagai penjimatan kalau dibandingkan dengan RM28 bilion ketirisan yang dilaporkan ketua audit negara," katanya.
Sementara itu, beliau yang juga ahli jawatankuasa pusat turut mencadangkan kakitangan yang berkhidmat secara kontrak diserap sebagai kakitangan tetap.
"Mereka yang diambil sebagai pekerja kontrak yang telah pun berkhidmat selama tujuh hingga sepuluh tahun mereka masih lagi pada status itu.
"Saya mencadangkan kerajaan menimbangkan kewajaran untuk menyerap mereka ini yang punya pengalaman untuk bersama dalam urus tadbir kerajaan," katanya. -Hrkh