Ikuti Blog ini

Macam-macam: Pasangan Tanpa Nikah Setahun Duduk Atas Pokok

Melaka: Seorang lelaki sanggup berbelanja besar untuk mengubah suai pangkin bagi mencapai hasratnya mendirikan sebuah ‘mahligai’ di atas pokok bagi membolehkan dia tinggal sebumbung bersama kekasihnya.

Bagaimanapun, kediaman ibarat chalet di Pantai Kundor, dekat sini, yang lengkap elektrik, tempat tidur, televisyen dan tandas milik lelaki itu diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

Dalam serbuan itu, Jaim menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan kekasihnya, wanita warga Indonesia berusia 23 tahun yang mendiami pondok terbabit.

Turut ditahan ialah anak saudara lelaki terbabit berusia 22 tahun yang berada dalam rumah di atas pokok itu dipercayai mengunjungi mereka.

Pondok terbabit dibina tiang penyokong, tangga dan mempunyai titi untuk ke beberapa bahagian di atas pokok berkenaan selain dilengkapi beranda.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani, berkata sepasukan pegawai dan anggotanya ke pondok terbabit selepas menerima aduan ada perbuatan maksiat dilakukan di sebuah rumah di atas pokok.

Katanya, apabila tiba di lokasi berkenaan pihaknya mendapati ada tangga untuk naik ke pondok dan selepas dua anggotanya naik serta mengetuk pintu, ia dibuka seorang lelaki.

“Selepas memperkenalkan diri, anggota kami masuk ke dalam pondok terbabit dan menemui seorang lagi lelaki serta seorang wanita.

“Apabila disoal siasat, wanita itu tiada hubungan mahram dengan kedua-dua lelaki terbabit. Wanita itu juga mengaku tinggal di dalam pondok terbabit bersama lelaki berusia 31 tahun itu yang juga kekasihnya,” katanya.

Rahimin berkata, siasatan awal mendapati pasangan terbabit tinggal di pondok yang diubah suai di atas pokok berkenaan sejak hampir setahun lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat, pondok terbabit asalnya dijadikan tempat seorang ahli keluarga lelaki itu mengajar al-Quran yang meninggal dunia beberapa tahun lalu dan sejak itu pondok terbabit tidak digunakan.

Menurutnya, lelaki terbabit yang bekerja sendiri mengubah suai pangkin berkenaan untuk dijadikan kediamannya.

“Bagaimanapun, dia bertindak luar batasan apabila tinggal bersama wanita Indonesia yang juga seorang pekerja industri seolah-olah suami isteri,” katanya.

Rahimin berkata, dua lelaki dan wanita warga Indonesia terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, kerana bersekediaman dengan bukan muhrim. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya. -hm


Tidak mahu berpisah

MELAKA: Dalam tempoh 24 jam selepas dijamin kerana dicekup berkhalwat, pemilik ‘mahligai maksiat’ di atas pokok bagaikan tidak serik kerana masih tinggal sebumbung dengan teman wanitanya di rumah terbabit.

Pasangan lelaki berusia 31 tahun dan wanita warga Indonesia berusia 23 tahun itu dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin.

Namun, ketika Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani membuat tinjauan ke rumah itu jam 3 petang semalam, dia menemui lelaki terbabit di bahagian bawah kediamannya itu.

Rahimin berkata, dia meminta lelaki itu membuka pintu rumah pokok miliknya dan sebaik masuk ke dalam dia terkejut apabila mendapati wanita yang dicekup bersama lelaki terbabit kelmarin, masih ada di situ.

Katanya, wanita itu yang baru bangun daripada tidur, hanya bersinglet dan seluar pendek terkejut dengan kehadirannya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati masih banyak pakaiannya disimpan dalam kotak serta digantung dalam bilik.

“Malah, dokumen peribadinya turut ditemui di situ dan apabila ditanya mengapa masih tinggal bersama lelaki terbabit, dia memberi alasan malu pulang ke asramanya selain bekerja syif petang di kilangnya.

“Wanita itu ditahan kerana kami mahu menyerahkan kes ini kepada majikannya supaya dia tidak pulang semula ke tempat tinggal lelaki terbabit,” katanya di sini, semalam.

Rahimin berkata, pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan turut menemui beberapa video cakera padat (VCD) dipercayai lucah berdasarkan gambar yang tertera pada VCD itu.

“Walaupun mereka tidak berkurung ketika ditahan, kami masih menahan wanita terbabit berikutan dia masih enggan tinggal di tempat lain,” katanya.-hm
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .