Tindakan serangan udara ke ats Libya oleh Barat yang diketuai AS menimbulkan banyak persoalan dan kuasa barat serta Eropah perlu memberikan penjelasan motif sebenar serangan ke atas negara pimpinan Muammar Gaddafi ini kerana jelas sejarah Iraq dan Saddam Husein bakal berulang.
Memang saya telah menjangkakan serangan ini akan berlaku malah amat yakin ianya akan berlaku cepat atau lambat ditambah lagi dengan sokongan beberapa negara Arab yang bebal dan dungu.
Kalau betul bagai dicanang, serangan dilakukan bertujuan untuk menyelamatkan dan melindungi orang awam daripada krisis yang melanda Libya, tapi yang jelas orang awam tetap menjadi mangsa. Alasan sama yang pernah diberi di Iraq dahulu, tapi saya melihat dengan mata kepala sendiri di Iraq dahulu bagaimana orang awam telah menjadi mangsa. Ianya hanya skrip lama yang diulang cetak untuk kali yang entah ke berapa.
Persoalan samada tindakan ketenteraan ini akan menghapuskan regim Gaddafi sama sebagaimana yang pernah menimpa Saddam, saya yakin kita belum pasti ianya akan berlaku tapi krisis ini telah membuka pintu untuk campur tangan barat di bumi ummat Islam. Sepatutnya peranan Liga Arab perlu dimaksimakan dan penyelesaiannya perlu dalam kontek dunia Arab dan dunia Islam.
Apa yang nyata, Barat telah menzahirkan lagi sikap double standard mereka yang telah sedia diketahui umum. Mengapa ketika Israel menganyang Gaza pada Januari 2009, mereka tidak terfikir langkah untuk selamatkan rakyat Palestin dan melindungi orang awam sedangkan jelas sekali orang awam Palestin telah dan sedang menjadi mangsa keganasan Israel. Situasi sama sedang berlaku di Bahrain sekarang tetapi tiada tindakan dari Barat mungkin disebabkan negara itu menjadi sekutu AS dan menempatkan pengkalan tentera AS.
Kita meyakini tanpa ragu, agenda sebenarnya adalah emas hitam yang ditakungi perut bumi Libya. Agenda tersembunyi adalah kerana Libya antara negara terkaya dengan hasil minyak dan gas.
Dr. Azman Ibrahim
Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu