Ikuti Blog ini

Al-Marhum Tengku Ampuan Bariah selamat dimakamkan

http://buletinonline.net/images/stories/berita42/TR12BONDAMANGKAT.jpgKUALA TERENGGANU - Bonda Yang di-Pertuan Agong, Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah yang mangkat pagi Isnin selamat dimakamkan di Makam Diraja di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah Shah, Ladang, di sini petang ini.

Almarhum, 78, yang pernah dilantik Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu 1979 selamat dimakamkan kira-kira 5 petang bersebelahan dengan makam almarhum suaminya Sultan Mahmud Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail.

Tengku Ampuan Bariah yang merupakan bonda Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin mangkat kira-kira pukul 1.22 pagi tadi di Hospital Pakar Seri Kota, Klang, Selangor.

Jenazah almarhum diterbangkan dari Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Subang dengan pesawat C130 TUDM kira-kira 10.45 pagi ini dengan turut diiringi oleh Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta tiga orang anakanda baginda.

(Gambar - Tuanku Mizan Zainal Abidin menyirami pusara bonda baginda, Al-Marhum Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisamuddin Alam Shah)

Jenazah yang tiba kira-kira pukul 11.50 pagi kemudiannya dibawa dengan kenderaan jenazah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diiringi kerabat diraja serta pembesar negeri dari lapangan terbang itu ke Istana Maziah.

Jenazah almarhum diletakkan di Balai Istiadat di Istana Maziah bagi memberi peluang kepada kerabat diraja, pembesar negeri, para tetamu dan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir hampir sejam dari 2.05 petang, dengan didahului oleh Tuanku Mizan dan kerabat baginda.

Raja Perempuan Perlis Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Tengku Puan Pahang Tengku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan kerabat-kerabat diraja Selangor, Johor, Kedah dan Negeri Sembilan antara kerabat yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada almarhum.

Solat jenazah kemudian dilangsungkan di Istana Maziah sebelum jenazah almarhum dibawa menaiki tandu khas untuk dibawa ke Makam Diraja di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah Shah.

Tandu khas itu melalui Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman dengan diiringi pembawa payung dan tombak yang terdiri daripada lima pegawai serta 64 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Ke-18 Askar Melayu Diraja sejauh empat kilometer sebelum tiba ke tempat pemakaman.

Tuanku Mizan dan anakanda baginda Tengku Muhammad Mua'az, kerabat-kerabat diraja serta pembesar negeri turut berjalan kaki mengiringi jenazah almarhum.

Istiadat pemakaman itu disaksikan Tuanku Mizan, Tuanku Nur Zahirah, kerabat-kerabat diraja serta rakyat jelata.- Bernama

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .