Tahun 2004. Amat ngeri untuk mengingatinya. Lebih ngeri daripada Tragedi 13 Mei, Rusuhan Baling, Rusuhan Natrah dan lain-lain. Tak ada sesiapa pun (mungkin kalau ada cuma sebilangan) yang menjangkakan tsunami akan melanda Malaysia. Ingatkan Malaysia ini selamat, aman, makmur, kaya-raya. Rupa-rupanya tak terlepas juga daripada bencana alam. Nah, bukankah ini suatu bukti mudah bahawa kita sentiasa berada dalam genggaman Allah?
"Maha Suci Allah yang di dalam genggaman kekuasaan-Nya seluruh kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu..."- Surah al-Mulk ayat 1
Dan apakah yang berlaku selepas daripada itu?
Petunjuk daripada tsunami 2004 itu, lanskap politik Malaysia rupa-rupanya mengalami perubahan. Pilihanraya 2008 menyaksikan "tsunami" berlaku dimana keputusan pilihanraya umum ke-12 memeranjatkan semua pihak. Baik dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti mudah tetapi hilang penguasaan dua pertiga di parlimen.
BN gagal untuk mempertahankan kekuasaan di beberapa buah negeri seperti Selangor, Perak Kedah dan Pulai Pinang sementara Kelantan gagal ditawan dan kekal di bawah pemerintahan PAS. Semua kerusi parlimen di Kuala Lumpur dirampas oleh pakatan pembangkang kecuali Setiawangsa berjaya dipertahankan oleh Zulhasnan Rafique.
Selatan tanahair yang menjadi kubu kuat BN juga “dirobek” sedikit demi sedikit sehinggakan BN Negeri Sembilan hilang majoriti dua pertiga.
Di Melaka, DAP berjaya menawan lima kerusi DUN dan satu kerusi parlimen. Johor yang merupakan negeri kelahiran Umno juga tidak ketinggalan menjadi mangsa apabila DAP mendapat empat kerusi DUN dan satu kerusi parlimen sementara PAS pula mendapat dua kerusi DUN.
Peralihan undi yang besar kepada pakatan pembangkang tanpa dijangka itu, menyebabkan ramai penganalisa politik menggelarkannya sebagai situasi ini sebagai Tsunami.
Buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan pada 1973 hilang kuasa dua pertiga di parlimen dan mengulangi sejarah Perikatan pada pilihanraya 1969.
Pakatan BN yang ditubuhkan sebagai formula baru untuk mengatasi kegagalan Perikatan pada pilihanraya 1969 akhirnya tempang selepas 38 tahun berdiri gagah.
Prestasi BN pada pilihanraya umum 2008 lebih teruk daripada Perikatan pada pilihanraya tahun 1969 oleh kerana kehilangan lima negeri kepada pakatan pembangkang.
Abdullah Ahmad Badawi telah berjaya mencipta sejarah apabila menjadi ketua BN pertama yang menyebabkan kehilangan majoriti dua pertiga, tulis Amin Iskandar secara sinis.
Keputusan pilihanraya umum 2008 juga menyaksikan beberapa menteri dan timbalan menteri mengalami kekalahan yang mengejut.
Shahrizat Jalil tewas ditangan Nurul Izzah yang kali pertama bertanding dalam pilihanraya umum. Samy Vellu yang menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput semenjak tahun 1974 terpaksa akur dengan Dr Jeyakumar.
Manakala Zainuddin Maidin yang menjadi Menteri Penerangan sebelum ini dimalukan oleh Johari Abdul di Sungai Petani. Di Shah Alam, Aziz Shamsuddin terpaksa akur dengan kemenangan Khalid Samad.
Mengapakah ini terjadi?
BN yang menang besar dalam pilihanraya umum 2004 menjadi begitu kuat sehinggakan tiada kuasa pengimbang dalam menentukan hala tuju negara. Dalam bahasa yang mudah, BN boleh membuat apa sahaja dengan kuasa dua pertiga mereka di parlimen.
Selepas pilihanraya 2004 sehingga 8 Mac 2008 rakyat dibebani dengan kenaikan kos hidup yang mendadak. Kenaikan harga minyak, tol, pengangkutan awam dan barang keperluan harian telah menyebabkan ramai yang hidup menderita.
Tambahan lagi apabila wujudnya “watak-watak jahat” seperti Samy Vellu yang bersungguh-sungguh mempertahankan kenaikan harga tol telah menyebabkan rakyat mula menyesal kerana memberikan mandat begitu besar kepada BN dalam pilihanraya umum 2004.
Dan kini amaran tsunami datang lagi.
Memberi peringatan kepada UMNO BN di bawah pemmerintahan Najib bahawa rakyat bakal melakukan perubahan lagi terhadap lanskap politik di negara ini.
Jika dahulu UMNO BN pernah mentertawakan pembangkang yang berhasrat untuk menghapuskan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, kerana kelihatan ia seperti mustahil berlaku, tetapi pilihanraya 2008 menyaksikan UMNO BN benar-benar kehilangan majoriti dua pertiga itu.
Begitu juga jika sebelumnya UMNO BN mempersendakan Projek Tanjung tajaan DAP, tetapi pilihanraya 2008 benar-benar menjadi kenyataan malah UMNO BN menderita bukan sahaja kehilangan Pulau Pinang, malah kehilangan Selangor, Perak, Kedah di samping gagal menawan Kelantan.
Najib kemudian dengan cara yang tidak demokratik merampas Perak. Menggunakan segala jentera kerajaan termasuk Polis, PDRM, SPR, SPRM, Peguam Negara dan sekalian agensi kerajaan pusat untuk menekan dan menindas kerajaan-kerajaan negeri di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.
Segala tipu daya dan muslihat digunakan untuk memenangi pilihanraya-pilihanraya kecil dengan SPR menjadi kuda tunggangan paling hebat.
Dan kini loceng amaran berbunyi lagi. Tsunami kini menggegar negara Jepun, tempias kecilnya kini dirasai di pantai Kuala Terengganu yang terdedah di hadapan Laut Cina Selatan.
Gempa bumi terburuk dalam 140 tahun di Jepun, yang melanda timur laut negara itu tengah hari ini (waktu Malaysia), meragut 59 nyawa dengan angka kematian dijangka terus meningkat.
Bencana ini bukan sahaja mencetuskan tsunami 10 meter, tetapi menyebabkan kebakaran loji penapisan gas asli di Tokyo.
Perdana Menteri Jepun Naoto Kan berkata gempa bumi menyebabkan “kemusnahan besar” di bahagian timur laut Jepun.
Laporan Reuters menyebut sebuah kapal yang membawa 100 orang dihanyutkan oleh tsunami.
Itu di Jepun.
UMNO BN sepastinya mengharapkan tsunami itu tidak datang menimpa Malaysia. Itu harapan mereka. Tetapi tiada siapa tahu perancangan dan pekerjaan Allah s.w.t.
Apakah Najib akan terus angkuh dan sombong untuk melakukan pengkhianatan terhadap federalisma dan akan terus menekan negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti mengebas wang royalti Kelantan disamping cuba membuli kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat?
Kita katakan: Silakan. Ketawakanlah kami seperti mana kamu pernah tertawakan kami sewaktu kami menyatakan kami akan hapuskan majoriti dua pertiga UMNO BN di Dewan Rakyat.
Tsunami akan datang lagi untuk mengajar kamu-kamu dari UMNO BN untuk ayuh bungkus dari Putrajaya bagi memberi laluan kepada pemerintah baru Malaysia - semestinya dari Pakatan Rakyat! -GB
Gempa Magnitud 8.8 Skala Richter Landa Jepun, Wisma Putra Buka Bilik Operasi
TOKYO: Satu gempa bumi kuat bermagnitud 8.8 pada skala richter berlaku di Pantai Timur Honshu, Jepun pada Jumaat dan mencetuskan tsunami setinggi 10 meter (30 kaki) hingga menghanyutkan kereta dan bangunan di sepanjang pandai berkenaan.
Di beberapa lokasi di sepanjang pantai Jepun, tayangan televisyen memaparkan berlakunya banjir dengan puluhan kereta, kapal serta bangunan dihanyutkan air.
Menurut rakaman stesyen televisyen Nasional NHK, terdapat sebuah kapal besar yang dibawa arus deras melanggar pemecah ombak di Bandar Kesunnuma di Wilayah Miyagi.
Gempa yang melanda kira-kira pukul 2.46 petang waktu tempatan diikuti dengan beberapa siri gempa susulan termasuk magnitud 7.4 sekitar 30 minit kemudian.
Agensi meteorologi mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai Pasific seluruh Jepun.
Stesyen televisyen nasional NHK mengeluarkan peringatan kepada sesiapa yang masih berada di kawasan berdekatan pantai supaya berpindah ke kawasan tanah lapang yang lebih selamat.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii berkata, amaran tsunami dikeluarkan kepada Jepun, Rusia, Pulau Marcus dan Marina Utara.
Manakala amaran berjaga-jaga dikeluarkan kepada Guam. Taiwan, Filipina, Indonesia dan Hawaii, Amerika Syarikat.
SEMENTARA itu, Jabatan Kajicuaca Malaysia menggesa orang ramai menghindari kawasan pantai Labuan dan Sabah ekoran kebimbangan ombak besar dan kenaikan paras air laut akibat gempa bumi di Jepun.
"Paras air dijangka naik di pantai sekitar Labuan dan Sabah menjelang jam 6 petang hingga tengah malam ini," kata jabatan berkenaan.
Dalam pada itu, Bilik Operasi Wisma Putra berhubung gempa bumi di Jepun telah diaktifkan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut bolehlah menghubungi talian-talian berikut; 03-88874570; 03-88892746; 03-88892830; 03-88892380 dan 03-88884770. -mstar