KUALA NERUS - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak ahli dan seluruh rakyat menyokong perjuangan parti itu dengan penuh keyakinan tanpa rasa was-was.
Beliau berkata, PAS pernah menang dan memerintah di Terengganu tahun 1999 hingga 2004 pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 yang lalu.
“Marilah kita bekerja dengan PAS secara yakin, dengan tidak ada was-was sedikit pun khususnya bagi kita di Terengganu ini. Kita di Terengganu tidak ada sebab kita tidak yakin dengan PAS.
"Ini kerana, kita pernah menang tahun 1999 hingga 2004 dan kita telah meletakkan asas untuk mengisi kemenangan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh, di Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) Darul Iman, Tok Jiring, dekat sini Khamis 7 April.
Menurutnya, PAS mengambil pendekatan jalan demokrasi dengan menyertai pilihan raya bagi mengajak rakyat menentukan sesebuah kerajaan.
Justeru itu, katanya menjadi kewajipan kepada PAS bagi mengajak rakyat menyokong perjuangan parti ini dalam pilihan raya.
“Pilihan raya adalah demokrasi dan rakyat diberi hak untuk menentukan kerajaan pilihannya. Maka, kita (PAS) berkewajipan mengajak rakyat untuk menyokong kita dalam pilihan raya supaya pilih kita jadi kerajaan.
“Kerajaan yang memerintah dengan Islam. Pendekatan kita (PAS) mengajak orang bersama menyokong perjuangan kita. Pilihan raya ini, kita kena ajak ‘orang atas pagar’ menyokong bersama dengan kita. Inilah kelebihan kita menyertai pilihan raya,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rhu Rendang menegaskan pendekatan mengajak rakyat turun ke jalan raya juga mengikut saluran demokrasi.
Namun begitu, katanya agak sukar berlaku di negara ini kerana pemikiran rakyat masih tertutup dan hidup tidak tertekan.
Menurutnya, pendekatan menyertai pilihan raya merupakan jalan demokrasi terbaik hari ini bagi rakyat mengubah kerajaan.
“Pilihan raya dan turun ke jalan raya, kedua-duanya jalan demokrasi. Tapi, hendak turun ke jalan raya dan rakyat bangkit kena ada dua perkara yang berlaku.
“Pertama, fikiran dia (rakyat) terbuka. Kedua, hidup dia tertindas sehingga ada orang tidur di kaki lima di Mesir, di Jakarta, tidak ada makanan dan surat khabar dia (media) bebas melaporkan semua kebaikan dan kejahatan kerajaan.
“Kita (Malaysia) pula surat khabar (media), tv ‘tutup’ dan hidup pula tidak tertekan dan fikiran rakyat ‘tertutup’. Ini yang dihadapi oleh kita (PAS).
Oleh kerana itu, selaku Ahli Parlimen Marang, menegaskan jalan pilihan raya menjadi pilihan masa kini kepada semua gerakan Islam di seluruh dunia.
Katanya, sama ada dipanggil parti Islam atau jamaah Islam mendekatan demokrasi secara aman ini boleh diterima oleh para ulama’ Islam.
Dalam majlis tersebut Presiden PAS turut menyampaikan sijil keahlian PAS kepada setiap wakil-wakil Dun serta menyerahkan bendera parti sebagai tanda simbolik permulaan gerak kerja parti hingga menjelang PRU ke-13, tidak lama lagi.
Turut hadir pada majlis tersebut penasihat PAS Dun Tepoh, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong dan Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah. -BO