Sambil mengulangi bahawa rakyat sepatutnya menikmati hasil kekayaan negeri, beliau juga mahu rakyat bangkit menghentikan segera kerakusan pemimpin negeri yang mengaut kekayaan negeri.
Rakyat, katanya harus keluar dari belengu kemiskinan dengan menukar kepimpinan negeri ini yang ternyata mengabaikan kebajikan mereka.
"Kita (PAS dan Pakatan Rakyat) datang untuk kembalikan kekayaan Sarawak kepada rakyat Sarawak. Sangat sedih apabila rakyat Sarawak antara paling miskin di Malaysia sedangkan Sarawak ada petroleum.
"Inilah dia Sarawak tanah airku," kata Mohamad (gambar) yang juga AJK PAS Pusat sinis dalam satu ceramah di Kampung Sidang Baru di sini.
Turut serta berceramah, Naib Presiden dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Idris Ahmad serta Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim.
"Dari Miri ke Sibu lebih kurang 120 km, kalau di Semenanjung sejam naik kereta. Kalau saya bawa 45 minit, kena saman ekor, Mahfuz bela," katanya disambut gelak ketawa hadirin.
"Di sini, Sibu ke Miri 3 jam lebih, kerana jalan raya bukan macam naik kereta, tapi macam naik kuda," tambahnya menggambarkan kemudahan asas yang jauh ketinggalan.
Membandingkan dengan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, beliau berkata rakyat akan lebih kaya jika Pakatan Rakyat memerintah.
Beliau memberi contoh Selangor yang kaya dengan hasil negeri tetapi di bawah Pakatan Rakyat, kekayaan itu dinikmati rakyat.
Ianya termasuk 20 meter padu air percuma, wang masuk universiti RM1,000, skim warga emas dan banyak lagi.
"Dalam tempoh sekarang, rakyatlah yang menjadi raja, bukan lagi Tan Sri (Abdul) Taib Mahmud.
"Undilah Pakatan Rakyat, kalau satu penggal mereka perintah baik, sambung tugas mereka, kalau buruk lebih dari BN, patah balik undi parti yang anda mahu," katanya.- Hrkh