Saingan makin sengit, Pakatan mula rasai peluang cerah berbanding 2006
Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yakin bahawa mereka boleh menawan undi kawasan bandar pada hari penentuan pilihan raya negeri Sabtu ini, tetapi Barisan Nasional (BN) kelihatan memiliki sokongan yang cukup untuk memastikan ia boleh memperoleh majoriti dua pertiga kerusi.
Bagaimanapun laporan-laporan positif kelihatan terus memihak kepada PR di kesemua 71 kerusi yang dipertandingkan - memberikan harapan kepada perikatan berusia tiga tahun itu memberi cabaran sengit kepada BN yang tidak pernah disaksikan.
Meskipun pemimpin-pemimpin PR cukup berhati-hati, kehadiran penyokong dengan konsisten pada ceramah-ceramah yang diadakan sejak seminggu lalu dan respons cukup menggalakkan daripada penduduk setempat membolehkan mereka mengakui akan peningkatan sokongan di luar jangkaan mereka.
Ketiga-tiga parti komponen PR – PKR, DAP dan PAS – telah mengisytiharkan bahawa mereka akan menambah kerusi berbanding kedudukan lima tahun lalu jika pun Sarawak tidak jatuh ke tangan mereka.
Gerak-geri risikan menunjukkan mereka memperoleh respons yang semakin meningkat sejak hari penamaan calon Rabu lalu.
Wong Ho Leng dari DAP memberitahu The Malaysian Insider, situasi hari ini lebih menggalakkan dan meyakinkan berbanding ketika pilihan raya kecil kerusi Parliemn Sibu, Mei lalu.
Beliau membuat kejutan dengan memenangi kerusi itu daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).
“Kali ini lebih baik. Di Sibu, keadaan menjadi lebih positif ketika menuju penghujung. Tetapi di sini, sokongan sudah kelihatan sejak hari pertama (selepas penamaan calon). Saya berharap dapat mengekalkan persekitaran,” katanya lagi.
Wong menyenaraikan lima kerusi disandang BN yang cukup meyakinkan DAP iaitu Repok, Pujut, Piasau, Bawang Assan dan Batu Kawah.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga yakin yang partinya akan meningkatkan undi popular pada jumlah yang signifikan.
“Selalunya, kami membandingkan dengan pilihan raya negeri sebelum ini dan dari sini, adalah jelas dan terlalu sukar untuk menafikan respons baik khususnya di kawasan-kawasan pedalaman,” kata Ahli Parlimen Machang ini.
Beliau menambah PKR yakin ia akan memperlihatkan keputusan baik di tiga kawasan yang sebelum ini dimenangi BN dengan majoriti kecil iaitu Saribas, Ba’Kelalan dan Senadin.
Rakan sejawatannya dari PAS Datuk Mustafa Ali pula berkata, respons pengundi sangat menggalakkan sehingga pemimpin-pemimpin setempat parti itu kini “terlalu yakin” akan peluang mereka.
“BN memandang mudah perubahan semasa. Saya boleh melihat sesetengah pemimpin setempat dan jentera mereka terlalu yakin dengan peluang kami (pada kali ini). Saya minta mereka tidak (terlalu yakin),” katanya.
Umumnya bagi PR, ini adalah pilihan raya negeri pertama sejak ia dibentuk tiga tahun lalu khususnya selepas menyaksikan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008.
Perikatan itu menggunakan pilihan raya negeri ini sebagai raptai menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan tahun ini.
Sementara pilihan raya negeri ini dilihat sebagai pungutan suara ke atas populariti BN yang semakin terhakis di Malaysia Timur, ia juga dilihat sebagai ujian kepada PR untuk membuktikan popularitinya yang semakin meningkat sejak tsunami politik 2008.
Bagaimanapun sumber-sumber pembangkang risau dengan khabar angin mengatakan BN akan membuat usaha akhir dalam kempennya dengan memberi ‘buah tangan’ lumayan kepada Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), yang hubungannya dengan PR terjejas beberapa hari sebelum penamaan calon, dan bertanding di 26 kerusi yang disaingi PKR.
Ini, menurut beberapa sumber, dilakukan untuk memecahkan undi bakal diperoleh pembangkang dan memastikan kemenangan BN.
Wong juga mengakui mendengar khabar angin sedemikian tetapi enggan membuat spekulasi mengenainya.
Ketika ditemui di ibu pejabat PKR di Satok di sini, Saifuddin juga melahirkan kebimbangan yang sama.
“Kami tidak menafikan bahawa kami menerima sokongan permulaan yang baik, tetapi isunya sekarang ialah sama ada kami boleh mengekalkan (sokongan) sehingga Sabtu ini,” katanya.
“(Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) berada di sini dan beliau macam Santa Claus, memberikan buah tangan.
“Ini satu kekurangan besar bagi kami,” katanya lagi.
Najib secara perubadi mengetuai kempen sejak Ahad lalum situasi yang tidak pernah disaksikan masa-masa lalu.
Meskipun begitu pemimpin-pemimpin PR kelihatan yakin bahawa mereka telah menerokai kedudukan lebih baik sejak enam hari lalu meskipun di kawasan-kawasan yang sebelum ini sebagai dilihat kubu kuat BN.
Bagi PR satu lagi faktor besar yang mendorong kempennya ialah peningkatan rasa tidak puas hati pengundi terhadap kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud. -TMI
Media diarah tidak lagi siarkan perhimpunan Pakatan
Sumber dari Media Prima memberitahu semua rangkaian televisyen miliknya telah diarahkan supaya tidak menyiarkan ceramah harian Pakatan yang berjaya menarik kehadiran ribuan orang.
BN yang kini dilihat semakin goyah menjelang pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini, terus memperkuatkan cengkamannya ke atas media arus perdana .
Dengan portal berita, termasuk Malaysiakini dan Sarawak Report, yang telah menerbitkan laporan kritikal mengenai ketua menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, tidak dapat diakses akibat serangan siber, rangkaian televisyen telah diarahkan jangan menyiarkan rali dan ceramah-ceramah Pakatan Rakyat.
Sumber yang rapat dengan gergasi media yang dikaitkan dengan Umno itu - Media Prima - memberitahu Malaysiakini bahawa semua rangkaian televisyen miliknya telah diarahkan supaya tidak menyiarkan ceramah harian Pakatan yang berjaya menarik kehadiran ribuan orang.
“Visual rali mega tidak sama sekali boleh disiarkan meskipun ia berkaitan dengan pilihan raya,” kata sumber dalaman itu.
Media Prima memiliki semua rangkaian televisyen swasta percuma di negara ini -TV3, ntv7, 8TV and TV9.
Selain televisyen, akhbar Cina juga diberi tekanan selepas BN dikatakan mungkin tumbang di beberapa kawasan yang mempunyai pengundi majoriti masyarakat Cina.
“Walaupun belum diberi arahan, kita mesti berhati-hati dengan laporan berita. Saya tidak fikir, kita mampu lagi memberi liputan pada ratio 60:40 bagi BN dan Pakatan, kita sekarang terpaksa menukarnya kepada 70:30,” kata seorang editor akhbar harian Cina.
“Sejak dua atau tiga lalu, liputan ke atas kami telah berkurangan dengan begitu ketara sekali,” kata seorang pekerja kempen DAP.-mk
Najib: BN hanya sasar kekal kuasa Sarawak, majoriti dua pertiga ‘bonus’
KUCHING, 13 April – Datuk Seri Najib Razak menegaskan sasaran Barisan Nasional (BN) adalah mengekalkan kerajaan negeri yang dipimpin perikatan itu sejak lebih empat dekad lalu, tidak kisah jika hanya dengan majoriti mudah.
Ketika tinggal tiga hari sebelum pengundian, Pengerusi BN ini secara terbuka berkata, pihaknya hanya mahu membentuk sebuah kerajaan walaupun gagal memperoleh majoriti dua pertiga.
Najib yang secara peribadi mengetuai kempen di sini sejak Ahad lalu berkata, jika BN memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri, ia adalah satu “bonus” bagi partinya.
“Sasaran kami ialah untuk membentuk sebuah kerajaan. Itu minimum. Majoriti dua pertiga adalah bonus kerana ia akan menyediakan kestabilan,” kata beliau yang juga Presiden Umno di sini hari ini.
Pengundian pilihan raya negeri ke-10 ini, yang menyediakan 71 kerusi, berlangsung Sabtu ini.
BN memiliki 63 kerusi manakala baki oleh pembangkang.
Sejak 1987, ini kali pertama kesemua kerusi dipertandingkan dan BN berhadapan dengan saingan paling sengit.
Kata Najib, BN tidak mahu melihat secara khusus mengenai bilangan kerusi yang bakal diperoleh perikatan itu kali ini.
“Dalam mana-mana pilihan raya bilangan (kerusi bakal dimenangi) akan naik dan turun,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Malah Najib juga mengakui bahawa BN berhadapan dengan persaingan sengit di kawasan-kawasan bandar dan pilihan raya negeri kali ini “adalah yang paling sengit dalam politik Sarawak.”
“Kami tidak boleh menafikan kerusi-kerusi bandar adalah kawasan yang kami diuji paling sengit,” kata beliau.
Sehubungan itu, beliau meminta BN bekerja kuat di kawasan-kawasan bandar kerana calon-calonnya berkaliber dan tidak mahu pengundi menolak mereka hanya kerana protes.
Najib mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud bahawa beliau yakin akan mengekalkan majoriti dua pertiga dengan memperoleh undi pada jumlah yang banyak di kawasan luar bandar dan separa luar bandar.
Dalam ulasannya Najib juga berkata, pemimpin-pemimpin BN dari Semenanjung Malaysia berada di Sarawak untuk “membantu calon-calon kami agar Sarawak akan kekal di bawah BN.” -TMI