MARANG - Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata menjadi suatu kewajipan yang besar kepada ahli parti (PAS) untuk menggantikan Umno dalam pilihan raya akan datang.
Ia adalah kerana menurutnya, Umno dan Barisan Nasional (BN) menentang PAS bagi menghalang parti ini melaksanakan perintah Allah SWT.
Katanya, Umno-BN adalah parti kemungkaran besar dalam negara ini kerana mengekalkan sistem serta mempertahankan dasar-dasar penjajah.
“Kita (PAS) hendak laksanakan kebajikan, kita hendak laksanakan perintah Allah Ta’ala. Mereka (Umno) lawan kita (PAS).
“Marilah kita lawan Umno dengan keyakinan, dengan kepercayaan. Umno dan Barisan Nasional adalah parti kemungkaran yang besar dalam negara kita, yang mengekal dan mempertahankan sistem yang dibawa oleh penjajah,” ujarnya ketika merasmikan Himpunan Muslimat PAS Terengganu, disini, Jumaat 15 April.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa Umno yang bertanggungjawab melemahkan agama Islam serta menggalakkan maksiat berlaku dalam negara.
Oleh itu, katanya menjadi satu kewajipan besar kepada PAS menggantikan Umno semula setelah dijatuhkan tahun 2004 lalu.
“Kita (PAS) mempunyai satu kewajipan yang besar untuk mengganti Umno, setelah PAS dijatuhkan (2004). Kewajipan yang sangat besar, bukan kewajipan yang kecil.
“Umnolah yang melemahkan agama Islam, Umnolah yang menghapuskan tulisan jawi, Umnolah yang menghidupkan hiburan dan menggalakkan anak-anak muda kita kepada maksiat.
“Umnolah yang menjadikan negara kita ‘dibanjiri’ oleh kemungkaran (maksiat) sehingga anak-anak muda kita tenggelam dalam kemungkaran,” ujarnya di hadapan lebih 5,000 hadirin.
Menurutnya, Umno-BN perlu ditukar-gantikan dengan PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya demi menyelamatkan bangsa, agama dan negara. -BO
**Dengar Ucapan Dato' Seri Hadi di Buletinonline Radio