KOTA BHARU : Biarpun dianggarkan 10,000 akan hadir pada majlis Munajat Rakyat Kelantan (Ipon 10k Pemuda), namun seramai 15,000 orang hadir pada majlis yang penuh bersejarah itu.
Mereka hadir untuk menyatakan sokongan terhadap kerajaan Kelantan agar terus kekal mentadbir negeri setelah 21 tahun kepimpinan ulama mewarnai pentadbiran kerajaan negeri itu.
(GAMBAR: Bob Lokman antara tetamu yang hadir)
Majlis berkenaan bermula kira-kira jam 3.00 petang pada majlis yang diadakan di Padang Perdana.
Majlis pada sebelah malam itu bermula dengan solat Maghrib, diikuti bacaan al-Quran 30 juzuk beramai-ramai bagi menjayakan 100 kali khatam al-Quran yang dibacakan sendiri oleh golongan pemuda termasuk pelajar tahfiz al-Quran dan pelajar-pelajar pondok.
Majlis seterusnya diteruskan dengan solat sunat hajat bagi memohon pertolongan dari Dia agar mengekalkan pentadbiran kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan ulamak disamping dijauhi segala usaha jahat pihak lawan untuk menghancurkan pentadbiran keajaan negeri.
Kesemua program munajat termasuk solat sunat hajat, Maghrib dan Isyak diimamkan oleh Mudir Pondok Darilnaim, Ustaz Mohd Aziz Che Man.
(GAMBAR: Muslimat turut serta)
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Adun, pemimpin masyarakat dan lain-lain jemputan.
Majlis disebelah malam bertambah meriah bukan hanya setakat bacaan al-Quran kehadiran pimpinan tertinggi parti dan kerajaan negeri, sebaliknya Bob Lokman yang turut diberi kesempatan berucap pada malam itu.
Turut berucap pada majlis disebelah malamnya, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Abdul Fatah Mahmood.
Husam ketika berucap pada majlis itu menyelar kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan subsidi minyak adalah candu kepada rakyat.
Katanya, kenyataan sedemikan jelas membuktikan kebajikan untuk rakyat langsung tidak ada sebaliknya untuk membenankan mereka sehingga mengistiharkan sabsidi adalah seumpama candu kepada rakyat.
“Macamana Perdana Menteri boleh berkata demikian, sepatutnya membela rakyat,”ujarnya.
(GAMBAR:Ikrar para pemimpin PAS mempertahankan kerajaan negeri Kelantan)
Bagaimanapun beliau berpendapat rasuah dan korupsi adalah candu sebenar yang mampu merosakkan kebajikan rakyat.
Tambahnya, kerana rasuah negara boleh tergadai akibat diterajui oleh pemimpin yang tidak beramanah.
”Saya harap rakyat di seluruh negara menilai balik kepimpinan kerajaan BN hari ini, kita buat perhitungan segera khususnya menjelang pilihanraya umum akan datang,”ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memuji program yang dianjurkan oleh anak muda itu kerana ianya juga antara tanggungjawab jamaah Islam bagi mempertahankan kerajaan yang membela kebajikan rakyat.
Sambungnya, semua lapisan masyarakat wajar mempertahankan kerajaan Kelantan yang banyak membela kebajikan untuk mereka. -Hrkh